KOTA BHARU,  Seorang warga emas Orang Asli dilaporkan hilang ketika keluar mencari akar kayu dan menyumpit burung di satu kawasan hutan di Felda Aring 5, Gua Musang sejak sembilan hari lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata mangsa dikenali sebagai Hakim @ Udang Salok, 61, dari suku Batik itu telah keluar dari rumahnya pada 31 Oktober lalu pada pukul 2 petang dengan membawa sebilah parang, satu kilogram gandum, lampu suluh dan ponco untuk mencari akar kayu.

“Menurut anggota keluarga dan saksi, adalah menjadi amalan biasa oleh mangsa untuk keluar berseorangan berjalan kaki ke kawasan hutan untuk mencari akar kayu dan menyumpit burung dan tupai. Ada masanya, mangsa akan bermalam dua hingga tiga hari tanpa pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, selepas tiga hari (2 November) mangsa masih tidak pulang ke rumah, anak mangsa bersama beberapa penduduk kampung telah mencari mangsa di dalam hutan sebelum anak mangsa membuat laporan polis pada pukul 4.46 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Beliau berkata berikutan itu satu gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dijalankan melibatkan 47 anggota pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gua  Musang pada 6 petang semalam sebelum ditangguhkan pada pukul 10 malam tadi kerana faktor cuaca.

“Operasi SAR disambung kembali pada 8.30 pagi ini, namun, setakat petang ini, belum ada sebarang perkembangan mengenai mangsa,” katanya.