KUALA LUMPUR,  Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sanggup menanggung risiko atas kenyataannya mengenai kerjasama Pas membentuk kerajaan bersama Umno di Selangor.

Menurut ADUN Pas-Salor itu, beliau sedar pendedahannya itu akan mengundang risiko kepada dirinya namun sanggup menghadapinya kerana apa yang disebutnya itu adalah benar.

Jelas Husam, beliau mahu sandiwara yang telah menghancurkan parti selama ini dihentikan dan hanya melaksanakan kewajipan memaklumkan kepada ahli dan masyarakat umum sandiwara belakang tabir yang telah berjalan sekian lama.

“Saya tegaskan di sini, saya tidak memfitnah sesiapa dan kenyataan saya adalah benar yang mana saya bertanggungjawab dunia akhirat.

“Sehubungan itu, siaran di laman web rasmi Pas dengan tajuk ‘Jawapan Fitnah Terhadap Presiden Pas’ harap dapat ditarik balik serta merta.

“Saya sanggup mempertahankan kenyataan saya dan Allah adalah saksi Maha Agung,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pendedahannya ketika memberi ceramah di Pasir Mas yang dipercayai merujuk kepada waktu Pakatan Rakyat (PR) berdepan krisis pertukaran Menteri Besar Selangor, daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Mohamed Azmin pada tahun lalu.

Dalam ceramahnya itu, beliau menjelaskan bahawa Hadi mencuba untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor.

Tambah Husam lagi, sebagai seorang muslim yang wara’ dan alim, semua pimpinan Pas tahu bahawa berbohong adalah amat ditegah oleh Islam.

Jelasnya, ia berikutan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan tiada alasan untuk Pas bergabung dengan Umno membentuk kerajaan di Selangor.

“Fakta bahawa Presiden Pas mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu ketika krisis Menteri Besar Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan alasan.

“Antara ‘ya’ dan ‘tidak’ sahaja yang diperlukan. Adakah ‘ya’ atau ‘tidak’ Presiden Pas mengaku seperti itu bila dipersoalkan?” soalnya.