Selasa, 24 November 2015

Ganjaran dari RM2.6b palsu, SPRM lapor polis


SPRM
SPRM


SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung penyebaran maklumat palsu berkaitan penawaran ganjaran wang daripada RM2.6 bilion dari akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

SPRM melalui Bahagian Komunikasi Strategiknya menegaskan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang didakwa.

SPRM menyedari penyebaran maklumat palsu menerusi media sosial kononnya SPRM menawarkan ganjaran atau pampasan menggunakan wang RM2.6 bilion, kes yang sedang disiasat oleh SPRM.

"Maklumat yang sedang disebarkan ini adalah palsu, yang dipercayai dikeluarkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. Satu laporan polis telah dibuat oleh SPRM baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut SPRM, kenyataan palsu itu kononnya menyatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM mengumumkan RM2.6 bilion dari akaun Perdana Menteri diisytiharkan sebagai sumbangan untuk dibayar kepada rakyat Malaysia yang komited menentang keganasan.

Dalam pada itu, SPRM berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat penyebaran maklumat palsu itu.

"Maklumat palsu ini secara langsung menjejaskan nama dan reputasi SPRM.

"Orang ramai yang menerima maklumat dimaksudkan dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dan pada masa yang sama tidak sebarkan atau menghantar mesej terbabit kepada pihak lain," katanya.


Tiada ulasan: