Selasa, 3 November 2015

DRAMA MENJELANG HARI SELASA

shahbudindotcom






Drama muncul lagi. Hampir tiap kali tibanya hari Selasa, selalu saja muncul drama baru berkaitan saman Perdana Menteri, Najib Razak terhadap akhbar perniagaan terkemuka Amerika Syarikat, The Wall Street Journal (WSJ) yang digembar-gemburkan sebelumi ini.

Setelah beberapa drama berjaya dipentaskan sehingga berpuluh-puluh hari Selasa telah berlalu, namun saman tidak juga menjadi kenyataan sebagaimana yang dijanjikan, sebaliknya wang RM2,600 juta yang didedahkan WSJ itu pula yang makin kuat dipertahankan, kini muncul satu lagi drama baru mengenainya.

Peguam Najib hari ini pula berkata, saman terhadap WSJ itu mungkin tidak difailkan di Amerika Syarikat atas alasan Perdana Menteri tidak begitu dikenali di sana.

Faktor tidak dikenali itu menjadi pertimbangan baru kerana kononnya jika menang pun, jumlah pampasan yang diterima Najib nanti hanyalah kecil saja.

Keadilan adalah satu perkara, tetapi ganti rugi juga penting, kata peguam Najib dengan memberi contoh seorang ahli perniagaan United Kingdom yang menang saman di Amerika Syarikat tetapi hanya menerima jumlah pampasan yang kecil jumlahnya.

Peguam Najib turut memberi contoh kononnya Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng juga mengemukakan saman bukan saja untuk mencari keadilan, tetapi juga untuk mendapatkan pampasan.

Hahaha...semalam ketawa kepada Hadi Awang yang mahu menjadi penasihat BN, hari ini terpaksa ketawa untuk Najib dan peguamnya pula.

Satu demi satu drama lucu berjaya mereka pentaskan mereka untuk hiburan rakyat negara ini. Benarkah Najib tidak begitu dikenali sedangkan beliau paling kerap melawat Amerika Syarikat, dapat bermain golf dengan Obama serta mungkin paling banyak menjadi sebutan medianya atas pelbagai sebab?

Dan bila pula Anwar dan Guan Eng mengemukakan saman semata-mata kerana wang pampasan?

Bukankah dulu Najib ada mengatakan saman akan dikemukakan terhadap WSJ adalah bertujan untuk membersihkan namanya yang kononnya telah difitnah oleh akhbar perniagaan itu?

Apa hal nak fikir besar atau kecil gantiruginya pula sekarang ini?

Apakah Najib seorang Perdana Menteri yang tidak berduit sehingga begitu mengharapkan laba pampasan yang besar apabila mengemukakan saman terhadap WSJ?

Bukankah derma besar RM2,600 juta sudah ada?

Sebelum bercakap soal gantirugi pula, apakah peguam Najib benar-benar yakin mereka boleh menang apabila menyaman akhbar tersebut berkaitan pendedahan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya?

Dalam masa yang sama, peguam Najib juga memberi alasan mengenai kesukaran untuk mengemukakan saman terhadap WSJ di Malaysia kerana bimbang akhbar itu menggunakan perlindungan Akta Speech yang menjadikan keputusan mahkamah itu tidak boleh dikuatkuasakan di Amerika Syarikat.

Makna mudahnya, semuanya belum pasti lagi sama ada Najib mahu meneruskan saman itu atau sebaliknya.  Sebabnya, kalau nak saman di Amerika Syarikat, takut jumlah pampasannya ciput manakala jika di Malaysia pula, bimbang dengan Akta Speech.

Lalu,  drama dan alasan sentiasa direka untuk melengahkan masa sambil membuatkan rakyat secara perlahan-lahan terhasut dan  percaya dengannya, lalu bersetuju bahawa saman itu tidak perlu diteruskan.

Sebenarnya itulah tujuannya drama menjelang hari Selasa ini dipentaskan.

Maka, bukankah lebih mudah jika Najib dan peguamnya berterus-terang saja bahawa saman itu tidak jadi difailkan sama ada di Amerika Syarikat mahupun di Malaysia? Mahu disaman apa lagi kerana dakwaan berkaitan wang itu bukan saja sudah diakui, bahkan sudah ramai yang bangga dapat turut menerimanya.

Tidak perlu terus menerus mementaskan drama demi drama kerana "makcik Felda "dan "pakcik kedai kopi di kampung" sebenarnya sudah ramai yang menggunakan telefon pintar sekarang ini. Mereka sudah faham segala-galanya.
Cukup-cukuplah.


Tiada ulasan: