PUTRAJAYA - Satu video yang mendedahkan komplot beberapa pemimpin
pembangkang dan pengendali laman web Sarawak Report bagi memburukkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diserahkan kepada polis hari
ini.
Video pengakuan bekas editor Sarawak Report yang diserahkan seorang
warga tempatan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya itu antara
lain, mendakwa wujud niat jahat oleh pihak berkepentingan untuk
melunaskan sebuah misi bergelar 'Mission to criminalise Datuk Seri Najib
Tun Razak dan 1MDB'.
Ketika mendedahkan perkara itu, Pengarah Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kandungan laporan itu telah dimaklumkan kepada beliau oleh pengadu berkenaan selepas membuat laporan polis pagi ini.
Beliau memberitahu sidang media di sini laporan polis itu mendakwa
Claire Rewcastle Brown yang juga pengendali laman web Sarawak Report
telah melakukan pemalsuan fakta berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd
(1MDB), Najib dan isu yang berkait rapat dengan 1MDB.
"Saya difahamkan pengadu turut mengemukakan sebuah video membabitkan pengakuan bekas editor itu yang terlibat secara langsung dalam perbuatan memalsukan fakta, penerbitan dan penyebaran fakta palsu di laman web Sarawak Report.
"Saya difahamkan pengadu turut mengemukakan sebuah video membabitkan pengakuan bekas editor itu yang terlibat secara langsung dalam perbuatan memalsukan fakta, penerbitan dan penyebaran fakta palsu di laman web Sarawak Report.
"Saya sendiri telah menyaksikan video itu dan amat terkejut dengan
pendedahan yang dibuat yang mana antara lain individu yang membuat
pengakuan menyebut beberapa nama pemimpin pembangkang turut terlibat
bekerjasama dengan Claire Brown," katanya.
Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, berkata beliau dimaklumkan bahawa pengadu turut
menyerahkan sesalinan email kepada polis yang dipercayai telah ditulis
oleh Claire Brown.
Antara isi kandungan email yang bertarikh 1 Mac 2015 tersebut, Claire
Brown didakwa menulis: "Thanks! Yes it was quite a job!...sitting up
night after night cleverly 'forging' all those documents!!!".
Abdul Rahman berkata walaupun tidak dipastikan apa yang dimaksudkan
oleh Claire Brown, namun pihak Interpol, polis United Kingdom serta
Polis Diraja Malaysia diharapkan dapat menyiasat apa yang dimaksudkan
memandangkan ramai pihak meragui Claire Brown dan laporan Sarawak Report
memalsukan fakta.
Katanya, beliau telah dimaklumkan bahawa individu-individu warga
British yang dinamakan dalam video pengakuan tersebut hanya akan memberi
keterangan jika ada penyiasatan rasmi oleh pihak berkuasa United
Kingdom.
Abdul Rahman berkata beliau meminta polis melakukan siasatan segera dan
profesional kerana tuduhan seperti dipaparkan dalam video sangat berat
dan substantif.
"Bagi membolehkan individu-individu yang dinamakan dalam video
pengakuan itu dapat disoal siasat, saya mohon pihak polis untuk segera
menghubungi rakan sejawat mereka dalam Interpol dan polis United Kingdom
kerana kita khuatir jika lambat bukti-bukti lain yang ada pada mereka
dialih atau dimusnahkan," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan