Sabtu, 11 Julai 2015

TVSelatan alternatif rakyat Johor

TVSelatan alternatif rakyat Johor
Roslizam menyasarkan sejuta penonton TVSelatan bagi tempoh tahun 2014 hingga 2016.
 
 
JOHOR BAHRU - Darul Takzim Media Sdn Bhd komited memperkukuhkan rangkaian TVSelatan sebagai saluran televisyen arus perdana tempatan pertama di negara ini yang memaparkan pengisian berkonsep lokaliti dan komuniti.
 
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslizam Ramlee berkata, stesen televisyen itu yang kini beroperasi sebagai televisyen web sedang dalam proses kerjasama dengan MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) dan Telekom Malaysia Bhd (TM).
 
Katanya, menerusi kerjasama itu, TVSelatan akan menggunakan platform dan fasiliti disediakan MYTV selain ditawarkan menjadi salah satu siaran dalam HyppTV yang dibangunkan TM.
 
“Sekarang kami dalam proses mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menggunakan platform disediakan MYTV.
 
“Kami juga dalam perbincangan bersama TM dan dijangka TVSelatan bakal menjadi salah satu stesen televisyen arus perdana tahun depan.
 
“Ketika ini kami bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 malam dan bakal bersiaran 24 jam mulai tahun depan,” katanya.

Ketengahkan isu tempatan

Roslizam berkata, stesen penyiaran yang beroperasi sejak tahun lalu itu bertujuan mengetengahkan isu tempatan dan berita bersifat lokaliti khususnya di Johor dengan kupasan mendalam.

“Idea mewujudkan TVSelatan ini kerana kami mahu sebuah stesen penyiaran memaparkan isu tempatan dari Johor kerana sebelum ini banyak organisasi media yang berpusat di Kuala Lumpur.
 
“Sebelum ini berita tempatan dipaparkan di media arus perdana terhad, jadi penubuhan TVSelatan sebagai alternatif rakyat Johor yang ingin mengikuti perkembangan semasa negeri ini,” katanya.
 
Katanya, syarikat itu menyasarkan sejuta penonton bagi tempoh 2014 hingga 2016 dan kini dalam usaha mempelbagaikan platform bagi mempromosikan stesen televisyen itu kepada umum.
 
“Sejak beroperasi tahun lalu, kami berjaya menarik jumlah penonton purata seramai 30,000 penonton bagi setiap video dimuat naik ke portal kami.
 
“Dalam masa terdekat kami akan menempatkan 120 skrin digital di beberapa agensi kerajaan dan Pusat Transformasi Bandar (RTC) sekitar bandaraya ini bagi menarik lebih ramai penonton.
 
“Selain itu kami turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi menyiarkan program TVSelatan menerusi skrin layar besar yang ditempatkan di Dataran Bandaraya.
 
“Dengan usaha ini saya yakin TVSelatan mampu menarik jumlah penonton antara 300,000 hingga 400,000 orang dan seterusnya mencapai sasaran sejuta penonton,” katanya.
 
Dalam pada itu katanya, berdasarkan statistik, lima peratus dari jumlah keseluruhan penonton terdiri daripada penonton luar negara termasuk Brunei, Singapura, Australia dan United Kingdom.
 
Jadi rakan media rasmi
 
Roslizam berkata, walaupun masih baharu beroperasi, stesen televisyen itu diberi kepercayaan sebagai media rasmi pelbagai aktiviti termasuk program berskala besar di negeri ini.
 
“Kami turut menerima banyak undangan untuk menjadi rakan media rasmi bagi penganjuran program antaranya 10th Monsoon Cup dan sambutan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor baru-baru ini.
 
“Malah kami turut menjalin kerjasama bersama stesen radio BestFM bagi meluaskan rangkaian pemasaran dan capaian penonton kami.
 
“Selepas Aidilfitri ini, BestFM akan mula disiarkan menerusi TVSelatan setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 7 pagi hingga 9 pagi,” katanya.
 
Katanya, stesen televisyen berkenaan secara tidak langsung menyediakan platform promosi kepada usahawan industri kecil sederhana (IKS) dan sektor korporat tempatan yang menyasarkan pelanggan tempatan.
 
“Menerusi medium ini pengusaha IKS dapat mempromosikan produk masing-masing dengan lebih mudah kepada pelanggan sasaran mereka.
 
“Malah TVSelatan juga dapat menjadi platform agensi kerajaan mahupun sektor korporat yang ingin menyampaikan maklumat kepada rakyat Johor secara am,” katanya.
 
Selain itu katanya, dengan tagline ‘Kawan Awak’, TVSelatan dalam usaha mempelbagaikan pengisian bersifat lokaliti untuk dimuat naik ke dalam portal mereka dan setakat ini terdapat lebih 20 program pelbagai genre dihasilkan.
 
“Selain memaparkan berita semasa tempatan, kami turut menghasilkan program sendiri termasuk dokumentari, program kanak-kanak dan rancangan berbentuk Islamik.
 
“Ini merupakan keunikan TVSelatan berbanding stesen TV web lain kerana pengisian kita lebih menyeluruh namun bersifat lokaliti,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: