Rabu, 8 Julai 2015

Tuduhan jejas keyakinan rakyat

Tuduhan jejas keyakinan rakyat
Laporan The Wall Street Journal.
 
 
SHAH ALAM - Tuduhan The Wall Street Journal (WSJ) kononnya Datuk Seri Najib Razak menerima sejumlah wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dinafikan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Perdana Menteri.

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, ini kerana tuduhan itu berbeza dengan sebelum ini yang hanya menyasarkan 1MDB secara umum.

“Dulu dakwaan terhadap 1MDB melibatkan dari sudut tadbir urus korporat. Tetapi dakwaan kali ini lebih peribadi kerana disasarkan kepada Perdana Menteri.

“Tuduhan juga dibuat agensi media antarabangsa dikenali seluruh dunia. Jadi ia akan menyebabkan rakyat Malaysia sangsi dan juga bimbang terutama dari sudut pentadbiran kerajaan dan kekuatan parti memerintah,” katanya, semalam.

Menurutnya, kebimbangan itu juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing.

Sehubungan itu katanya, Najib perlu melakukan siasatan segera terhadap dakwaan oleh WSJ  berkenaan.

“Siasatan ini penting bagi memastikan semua tuduhan dapat dijawab secara fakta. Kita tak mahu kenyataan berbentuk penafian kerana ia tidak boleh merungkai pelbagai persoalan rakyat.

“Bila siasatan dilakukan, kebimbangan  masyarakat khasnya penyokong Umno dan BN mungkin akan terjawab. Ia dapat menaikkan semula kepercayaan masyarakat dan keyakinan pelabur sekiranya hasil siasatan didedahkan kepada umum,” katanya.


Tiada ulasan: