Selasa, 21 Julai 2015

TPP: Jangan gadaikan hak komuniti nelayan

TPP



PADA 31 Mac 2015, pertubuhan bukan kerajaan, Bela Tani dan Jaringan Nelayan Pantai Semenanjung Malaysia (Jaring) mengeluarkan kenyataan bersama yang meminta kerajaan 'menolak sebarang usaha ke arah Kolonisasi Korporat terhadap industri pertanian negara' melalui perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) serta melindungi Dasar Sekuriti Jaminan Makanan Negara dan mempromosi usaha-usaha ke arah mempertahankan Kedaulatan Makanan Negara.

Menurut kenyataan mereka, TPP membolehkan seberapa banyak kapal-kapal dari negara-negara TPP lain untuk menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa sekatan. Perjanjian ini juga menetapkan lesen menangkap ikan yang diberi kepada individu atau syarikat dari negara TPP lain tidak boleh dibatalkan dengan sewenang-wenangnya jika kerajaan ingin menukar polisi atas dasar kepentingan negara.

Mengikut peruntukan Investor-State Dispute Settlement (ISDS) atau Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur-Negara, kerajaan harus membayar pampasan yang besar kepada syarikat luar ini, jika lesen mereka dibatalkan atas alasan akan kehilangan keuntungan masa hadapan iaitu sepanjang tempoh baki lesen tersebut.

Subsidi perikanan juga merupakan perkara yang amat membimbangkan. Menurut Amerika Syarikat (AS), subsidi perikanan merupakan antara perkara yang menyebabkan lebihan kapasiti (overcapacity) dan penangkapan ikan yang berlebihan (overfishing) serta menggalakkan 'shark-finning' atau industri sirip ikan yu yang menyebabkan kekurangan ketara beberapa spesis ikan ini.

Untuk mengatasi masalah-masalah ini, USTR atau Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) telah menerbitkan pelan Kertas Hijau (Green Paper) mengenai Konservasi dan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) pada bulan December 2011, di mana ia percaya bahawa Bab Alam Sekitar yang dicadangkannya akan memudahkan peningkatan perdagangan dan di waktu yang sama menyokong dan menambahbaik usaha konservasi yang berkaitan dengan sumber alam semulajadi serta tindakan melindungi dan memulihara biodiversiti di serantau Asia-Pasifik.

Cadangan yang dianggap 'groundbreaking' itu mengandungi peruntukan mengenai halangan subsidi perikanan yang diharapkan AS dapat meningkatkan 'baseline' atau garisan dasar yang  baru untuk melindungi industri perikanan.

Cadangan seperti ini belum pernah dimasukkan di dalam mana-mana perjanjian perdagangan yang terdahulu, menurut USTR. Peruntukan ini juga diharapkan dapat mengawasi Illegal Unregulated and Unreported (IUU Fishing) atau Kegiatan Perikanan Melanggar Hukum.

Empat negara perunding TPP adalah di antara 15 pengeluar utama dunia bagi produk perikanan mengikut jumlah dagangan. Subsidi perikanan dianggarkan merangkumi 25 peratus dari keseluruhan nilai tangkapan dunia yang sah dan tidak sah (IUU) yang berjumlah di antara AS$10 bilion (RM38 bilion) hingga AS$23.5 bilion (RM89.31 bilion) setahun.

AS mengharapkan cadangan ini akan membuka jalan lebih mudah bagi perundingan perjanjian WTO mengenai subsidi perikanan, terutamanya dari segi bahan api  dan pembinaan yang akan membolehkan kumpulan nelayan untuk bergerak lebih jauh dari pantai ke laut dalam.

Perjanjian ini dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada industri perikanan domestik terutamanya pengusaha kecil-kecilan dan komuniti nelayan.

Tidak semua jenis subsidi akan memudaratkan sektor perikanan. Oleh itu, kerajaan harus diberi kebebasan untuk menentukan jenis subsidi yang mana dan polisi atau dasar apakah yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti sektor ini serta taraf kehidupan komuniti nelayan.

Jika diteliti perjanjian-perjanjian perdagangan AS yang lepas, tidak dapat dinafikan ia lebih menjurus kepada pro-industri. Oleh itu, bolehkah Malaysia mengharapkan negara ini akan dilindungi dari ancaman korporat?

Setakat ini, AS di bawah USTR belum pernah lagi membawa negara asing ke tribunal antarabangsa kerana melanggar syarat-syarat dalam perjanjian perdagangan yang merangkumi klausa perlindungan alam sekitar.

TPP pula dikhuatiri akan memberi lebih banyak kuasa kepada syarikat-syarikat besar untuk mencabar dasar perlindungan alam sekitar sesebuah negara.

Penentang TPP yang merupakan ahli parti Demokrat, Elizabeth Warren menulis beberapa bulan lalu mengenai kes di antara sebuah syarikat perlombongan yang ingin membuat letupan di perairan Nova Scotia di Kanada.

Kerajaan Kanada tidak mahu meluluskan permit untuk syarikat tersebut kerana ia boleh mengakibatkan kerosakan kepada alam sekitar serta mengakibatkan ikan beredar dari kawasan tersebut, seterusnya memberi kesan buruk kepada tangkapan nelayan.

Dengan menggunakan aplikasi ISDS, syarikat tersebut mengheret kerajaan Kanada ke mahkamah antarabangsa. Keputusan memihak kepada syarikat tersebut tidak dapat dicabar di mahkamah domestik Kanada.

Kemungkinan besar, mengikut Warren, hasil kutipan cukai daripada penduduk Kanada perlu digunakan untuk membayar pampasan yang berjumlah AS$300 juta (RM1,140 bilion).
Tidak mustahil situasi yang dihadapi komuniti nelayan tempatan Kanada akan  dihadapi oleh Malaysia.

Walaupun syarikat-syarikat asing dari negara yang menandatangani TPP boleh menyaman Malaysia, nelayan tempatan tidak boleh menggunakan peruntukan di dalam perjanjian tersebut untuk menyaman kerajaan atas hal lesen menangkap ikan. Menurut perjanjian yang berat sebelah ini, nelayan asing diperuntukkan hak yang lebih besar dari segi undang-undang antarabangsa daripada nelayan tempatan.

TPP akan mengikat tangan negara-negara ahli sehingga rakyatnya hanya dapat melihat tanpa dapat berbuat apa-apa. Inikah yang kita mahu?

Tiada ulasan: