Khamis, 23 Julai 2015

Tidur dalam kereta demi anak

Tidur dalam kereta demi anak
Mohd Wasin sedang membersihkan kereta sewa miliknya.


KLUANG - Demi anak, seorang bapa sanggup tidur di dalam kereta untuk mencari nafkah bagi membesarkan enam anaknya.

Mohd Wasin Juraimi, 72, yang membawa kereta sewa sepenuh masa sejak 1969, tidak pernah putus asa demi mencari rezeki membesarkan anak-anaknya.

Beliau berkata, pelbagai dugaan diharungi sejak pertama kali bekerja sebagai pemandu kereta sewa dan segalanya dilalui dengan tenang serta sentiasa berusaha kerana percaya rezeki ada untuknya sekeluarga.

“Saya membawa kereta sewa kerana masa itu ia sangat popular. Walaupun ketika itu saya tiada kereta, saya sanggup menyewa dengan harga RM30 sehari.

“Tiap-tiap hari saya bawa dan wang yang saya dapat saya bayar duit sewa dan saya simpan untuk perbelanjaan kami sekeluarga.
“Kehidupan zaman 60 hingga 70-an amat susah sehinggalah tahun 80-an saya mampu beli kereta terpakai kerana tak mahu menyewa lagi. Untuk menyara enam anak saya perlu bekerja keras ditambah isteri tidak bekerja,” katanya.

Mohd Wasin berkata, bermula tahun 1984 sehingga 2012, dia membawa kereta sewa dari Kluang ke Singapura kerana pada masa itu perkhidmatan kereta sewa amat diperlukan serta tiada halangan keluar masuk ke negara berkenaan.

Katanya, ketika itu gajinya lingkungan RM900 sebulan dan akan diagih-agihkan untuk perbelanjaan anak sekolah, rumah serta keperluan barang dapur.

“Saya masa itu menyewa rumah dengan harga RM50 sebulan kerana sewaktu berkahwin dengan isteri saya tiada apa-apa sehingga saya mengambil keputusan membawa kereta sewa.

“Dengan gaji tak menentu saya sanggup tidur dalam kereta ketika menghantar penumpang dari Kluang ke Kuala Lumpur. Bukan sehari tetapi berhari-hari bila sudah ada duit saya balik ke Kluang. Itu kerja saya ketika membesarkan enam anak ditambah masing-masing menuntut di universiti,” katanya.

Walaupun, bekerja sebagai pemandu kereta sewa, Mohd Wasin kini berbangga enam anaknya sudah berjaya menamatkan pelajaran di samping mempunyai pekerjaan yang baik.

Katanya, itu adalah hasil rezeki membawa kereta sewa dan walaupun kini sudah tidak mempunyai tanggungan dia masih membawa kereta sewa untuk mengisi masa lapang.

“Saya tidak mahu menyusahkan anak-anak dan saya masih membawa kereta sewa sekitar negeri ini sekadar suka-suka kerana ini minat saya dari zaman muda sampai sekarang,” katanya.


Tiada ulasan: