Ahad, 5 Julai 2015

Tidak mustahil wujud senario kerajaan campuran PAS-Umno-PKR di Selangor

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Kebarangkalian untuk PAS bergabung dengan PKR dan Umno-Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor tetap ada, kata penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed. 
 
Senario itu kata Martadha, tidak mustahil akan berlaku berdasarkan realiti politik semasa dan juga keangkuhan DAP kebelakangan ini yang merasakan partinya lebih kuat berbanding 'rakan komponen', PAS dan PKR.       
 
"PKR,PAS dan DAP masing-masing ada kerusi yang banyak juga dan perlu mengadakan kerjasama dalam membentuk kerajaan (Selangor). Dan kalau kita lihat senario di Selangor, PKR berupaya mampu membentuk kerajaan jika bergabung dengan PAS dan Umno. Jadi saya rasa kemungkinan untuk terjadi senario itu tetap ada.
 
"Dalam satu segi, matlamat utama dari konteks parti masing-masing tidak begitu jauh beza antara PKR, Umno dan PAS. Manakala haluan dan hala tuju DAP berbeza sama sekali dengan PAS dan Umno.
 
"Sebagai contoh kita ambil dari sudut pelaksanaan hudud. Umno tidak kata menolak, dan PKR juga tidak menolak bulat-bulat. Pada mereka pelaksanaan itu perlu dikaji semula mengikut kesesuaian waktu. Manakala DAP memang menolak terus," katanya kepada Antarapos.
 
Menurut Martadha, walaupun senario penggabungan PAS-PKR-BN di Selangor itu dilihat seperti 'bermimpi di siang hari', namun kemungkinan itu tidak boleh ditolak selain menyifatkan politik penuh dengan kejutan.
 
Di Selangor, PAS dan DAP masing-masing memperoleh 15 kerusi, PKR mempunyai 13 kerusi, manakala BN pula dengan 12 kerusi, dan 1 kerusi disandang ADUN Bebas.  
 
Berdasarkan kiraan, senario penggabungan PAS (15), PKR (13), BN (12) pasti meletakkan DAP di kerusi pembangkang.
 
"Di Selangor, masing-masing perlu bekerjasama untuk memastikan bahawa kerajaan yang ada itu terus kekal, sebab itu PKR perlu lebih bersifat diplomasi dalam melihat dab meneliti segala bentuk kerjasama.
 
"Kemungkinan untuk kerjasama itu sangat besar berdasarkan kestabilan politik di negeri tersebut," kata pensyarah Universiti Utara Malaysia itu.
 
Namun katanya, senario penggabungan itu agak sukar berlaku di Pulau Pinang, walaupun bakal memenangi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan campuran.
 
Martadha merujuk kepada bilangan kerusi yang dimiliki DAP yang berjumlah 19 daripada keseluruhan 40 kerusi.   
 
"Keadaan majoriti mudah dalam mana-mana kerajaan agak bahaya. Ia boleh memberikan pelbagai reaksi, tindakan dan tindak balas dan memungkinkan bahawa kerajaan itu tak mampu kekal lama. Senario yang sama (kerajaan campuran PAS, PKR, Umno) agar sukar berlaku di Pulau Pinang jika dibandingkan dengan Selangor," katanya lagi.
 
DAP kini dilihat semakin angkuh apabila berani membuat kenyataan mendahului Pakatan Rakyat (PR) berhubung kerjasama antara parti komponen itu.
 
Terbaru Setiausaha Agungnya membuat kenyataan bahawa Pulau Pinang bukan lagi di bawah PR.
 
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat exco negeri menentang usul muktamar PAS memutuskan hubungan dengan DAP dan menerima hakikat bahawa Pakatan tidak wujud lagi.
 
Sebelum itu beliau juga membuat kenyataan bahawa PR juga sudah berkubur ekoran PAS mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
 
 

Tiada ulasan: