KUALA LUMPUR, Perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan hilang jika maklumat berkenaan didedahkan kepada media, kata bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim.


“Tidak ada perlindungan. Contohnya, anda hanya boleh mendedahkan maklumat kepada polis atau pihak berkuasa.

“Jika anda pergi ke media yang anda tidak dilindungi. Kedua, jika anda melanggar mana-mana undang-undang, seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, sekali lagi anda tidak dilindungi,” kata Zaid kepada The Post Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sama ada boleh dilindungi di bawah akta itu jika mencuri maklumat.

“Ia bukan juga untuk melindungi pemberi maklumat. Ia hanya satu lagi undang-undang untuk menjadikan Malaysia kelihatan baik. Mereka tidak berminat dengan semua kebenaran mengenai isu ini,” jelasnya.

Terdahulu, beberapa individu telah dipanggil termasuk Tony Pua, Rafizi Ramli dan peneraju The Edge untuk dilindungi di bawah akta kerana mendedahkan maklumat tersebut.

Di bawah seksyen 11, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, menyatakan bahawa agensi penguatkuasaan hendaklah membatalkan perlindungan pemberi maklumat yang diberikan di bawah Seksyen 7 jika ia berpendapat, berdasarkan penyiasatannya atau dalam perjalanan penyiasatannya bahawa, pemberi maklumat itu sendiri telah menyertai kelakuan tidak wajar yang didedahkan itu, pemberi maklumat dengan sengaja membuat dalam pendedahan kelakuan tidak wajarnya suatu pernyataan material yang dia tahu atau percaya adalah palsu atau tidak percaya sebagai benar.

Ia termasuk pendedahan kelakuan tidak wajar itu adalah remeh atau menyusahkan serta pendedahan kelakuan tidak wajar mempersoalkan merit dasar kerajaan terutamanya, termasuk dasar sesuatu badan awam.