Ahad, 26 Julai 2015

Tiada bai'ah taklik talak tiga

Satiful Bahri Mamat
Satiful Bahri Mamat
 
 
KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu hanya melafazkan bai’ah atau sumpah taat setia terhadap perjuangan parti tanpa sebarang penambahan lafaz taklik talak tiga sebagaimana yang dikatakan berlaku di negeri lain.
 
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat yang juga Adun Paka berkata, bai’ah dilakukan oleh semua calon Pas Terengganu sama ada menang atau kalah pada pilihan raya lalu.

“Kita berbai’ah di hadapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas pelantikan calon di Rusila, Marang. Semua berbai'ah sama ada menang atau tidak, tapi kita tak ada tambahan lafaz cerai talak tiga seperti negeri lain.

“Bai’ah yang kita lafaz antaranya tak boleh khianat, tak boleh lari daripada perjuangan sama ada menang atau kalah,” katanya ketika mengulas isu bai’ah dalam Pas yang dikatakan mengandungi lafaz taklik talak tiga jika mereka yang dipilih sebagai wakil rakyat meninggalkan parti. 

Isu itu timbul berikutan beberapa calon Pas yang bertanding dan menang pada pilihan raya lalu dikatakan akan meninggalkan Pas untuk menyertai Harapan Baru.

Satiful berkata, pihaknya tidak mengetahui alasan negeri lain seperti Kelantan dan Selangor menambah lafaz taklik tersebut namun bersetuju dengan pandangan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan, Datuk Daud Mohamad bahawa talak dilafaz secara bersumpah, bergurau atau berikrar sah dan hakiki serta tidak boleh dielakkan sekalipun dengan kafarah atau bayar denda sumpah.

Katanya, lafaz itu 'sorih' atau jelas dan bertulis yang bukan diniatkan untuk main-main atau bergurau sambil memberitahu perkataan cerai boleh jatuh sekalipun pasangan suami isteri hanya berlakon.

Beliau juga kesal terhadap sesetengah pihak yang menuduh penambahan lafaz cerai tersebut dituntut kepimpinan Pas dan meminta tuduhan itu dihentikan, lebih-lebih lagi ia tidak menjadi isu di negeri ini sedangkan bai’ah dilakukan di hadapan presiden parti.

Beliau meminta pihak luar tidak menghentam sesuka hati terutama berhubung bai’ah kerana ia perkara biasa yang menuntut sumpah taat setia yang wujud pada zaman Rasulullah SAW untuk mendapatkan kepercayaan daripada sahabat.

“Ini dalaman Pas, melibatkan disiplin. Orang luar yang tak tahu, tak perlu komen. 

“Ada bangkitkan istilah bai’ah sedangkan ia ada dalam Islam, al-Quran dan hadis serta berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Yang tak tahu jangan menghukum,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: