Selasa, 21 Julai 2015

Tak usah malu untuk memohon zakat - Bekas penerima bantuan

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Mana-mana individu daripada golongan tidak berkemampuan dinasihatkan jangan segan-silu untuk memohon bantuan zakat, namun harus tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh institusi itu.
 
Saranan itu diluahkan oleh Puteri Sharron Aldila Abdul Shukur yang juga pernah meminta bantuan zakat pada suatu ketika dahulu.
 
Menceritakan pengalamannya, wanita berumur 46 tahun itu memohon zakat perniagaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi meneruskan minatnya dalam bidang itu.
 
"Walaupun kita bukanlah dalam senarai di bawah lembaga zakat, kita boleh memohon namun berdasarkan kriteria tertentu, termasuk kesesuaian pendapatan. Jika kita tidak bekerja atau mempunyai masalah mencari rezeki, lembaga zakat boleh membantu. Tetapi kuncinya kena sabar dan tulus," katanya ketika diwawancara bersama Antarapos, baru-baru ini.
 
Sharron diajukan persoalan ramai pihak, bahawa sukar untuk mendapatkan bantuan zakat kerana perlu bermain dengan karenah birokrasi institusi itu.
 
Berdasarkan pengalamannya, Sharron berkata apa yang penting bagi yang ingin memohon zakat perlu jujur dan ikhlas dalam permohonan mereka.
 
Malah tidak menjadi kesalahan kepada sesetengah individu untuk terus mendapatkan bantuan meskipun permohonan mereka sebelum ini ditolak.
 
"Untuk memohon zakat memang mudah. Ceritakan masalah dan isi borang yang diberikan. Tulis kisah hidup kita, bagaimana bermula dan apa yang kita perlukan.
 
"Lembaga zakat dah berjumpa ramai orang. Sekilas air di laut mereka dah tahu jantan betina. Kadang-kadang mereka boleh tahu siapa yang bercakap benar atau sebaliknya sebab ramai juga yang ambil kesemapatan," terangnya lagi.
 
Itu merupakan secebis pengalaman Sharron ketika mendapat bantuan zakat untuk memajukan perniagaannya, sebaik sahaja bercerai dengan bekas suami pada 2007 yang lalu.
 
Episod hitam dalam hidupnya itu tidak dijadikan penghalang untuk mengejar impiannya, apatah lagi perlu memikirkan lima perut anak-anak untuk diisi.
 
"Kita sering memberontak tidak mahu terima kesusahan, musibah, ujian dan hal-hal negatif tetapi kita memang kena belajar menerima.
 
"Sebab, bila kita terima, kita jadi 'transparent. Keakuan kita besar, kita asyik cari salah sendiri sedangkan Allah sudah tentukan hidudp semua orang. Maka perlu berhenti menyalahkan diri sendiri dan orang lain" ujarnya.
 
Sharron turut menitipkan pesanan agar tidak mudah berputus asa meskipun hidup dalam serba kekurangan kerana dengan semangat yang kuat tidak mustahil kekurangan itu dapat diubah.
 
 

Tiada ulasan: