Sabtu, 4 Julai 2015

SPAD kesal pemandu teksi tidak mahu ubah sikap

SINAR HARIAN



Syed Hamid Albar
Syed Hamid Albar
 
 
KUALA LUMPUR - Tiada ada gunanya pelbagai program penambahbaikan bagi perkhidmatan teksi di negara ini dilakukan jika pemandu teksi sendiri tidak mahu mengubah sikap, kata Tan Sri Syed Hamid Albar.
 
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu berkata pihaknya dengan kerjasama persatuan pemandu teksi telah melakukan pelbagai program seperti penjenamaan, latihan dan menangani aduan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan teksi.
 
Namun segalanya tidak akan berjaya jika sikap dan kelakuan sesetengah pemandu teksi tidak berubah dan masih ditakuk lama yang akan terus dipandang serong oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa, katanya.
 
"Kita tahu berkenaan kedudukan yang buruk ini. Sebab itu kita adakan penjenamaan baharu, dari teksi lama ditukar kepada TEKS1M. Kita juga adakan teksi eksekutif, limosin dan memberi latihan mesra penumpang kepada mereka.
 
"Kita juga menaikkan kadar tambang dan yang terakhir ialah MeterOn app di mana penumpang boleh buat laporan pada SPAD. Tapi yang penting ialah pemandu sendiri mesti berubah sikap," katanya kepada Bernama.
 
Syed Hamid diminta mengulas mengenai laporan yang dikeluarkan oleh laman web teksi di Britain yang mendakwa pemandu teksi Kuala Lumpur adalah paling teruk kerana sikap mereka yang mengenakan caj berlebihan dan tidak menggunakan meter serta menggunakan laluan yang panjang untuk sampai ke sesuatu destinasi.
 
Jelasnya, dengan laporan yang didedahkan tersebut, semua pihak perlu mengambilnya secara positif untuk berasa malu dan berubah sikap serta sama-sama menjaga imej pemandu teksi negara ini.
 
Beliau berkata sikap suka mengenakan caj berlebihan adalah sangat dikesali dan seolah-olah sukar diubah oleh segelintir pemandu teksi khasnya di Lembah Klang. - Bernama
 
 

Tiada ulasan: