MALAYSIAKINI
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat
buat sementara waktu akses ke laman web pemberi maklumat yang
berpangkalan di London, Sarawak Report, setelah menerima maklumat dan
aduan dari orang ramai.
Dalam satu kenyataan akhbar, SKMM berkata ia menerima aduan bahawa laman
web itu memaparkan kandungan yang masih tidak dapat dipastikan
kesahihannya dan sedang dalam siasatan.
"Sekatan berkenaan berkuatkuasa untuk sementara waktu sehingga tamatnya
siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas," kata SKMM.
Ini merujuk kepada siasatan pasukan khas yang dianggotai Bank Negara, polis dan SPRM serta Jabatan Peguam Negara, terhadap 1MDB.
"Sehubungan itu, SKMM ingin memperingatkan orang ramai supaya lebih
berhati-hati dalam berkongsi maklumat di laman sosial, terutamanya
kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, lantaran ia mungkin
kandungan palsu.
"Kandungan sedemikian dikhuatiri boleh mewujudkan keadaan tidak tenteram
dan seterusnya menganggu-gugat kestabilan negara, ketenteraman awam dan
kestabilan ekonomi," kata SKMM.
Pihak berkuasa Malaysia menuduh Sarawak Report menyiarkan
dokumen-dokumen yang didakwa diubahsuai yang diperolehi dari bekas
pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI), Xavier Andre Justo.
Justo ditahan di Thailand pada 22 Jun dan sedang disiasat oleh polis
Thailand kerana didakwa cuba memeras ugut PSI dengan ancaman untuk
mendedahkan dokumen sulit syarikat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan