Khamis, 23 Julai 2015

SKMM akui tiada bukti ke atas Sarawak Report

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengakui bahawa siri pendedahan oleh laman Sarawak Report belum dapat dibuktikan sebagai palsu.

Ketua bahagian pemantauan dan penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yassin mendedahkan perkara itu dalam satu taklimat kepada para editor portal berita, termasuk Malaysiakini.

Dalam pertemuan itu, Zulkarnan berkata sekatan ke atas laman Sarawak Report hanyalah satu langkah pencegahan.

Katanya, suruhanjaya itu akan menunggu polis menamatkan siasatan sebelum memutuskan sama ada sekatan itu akan ditarik balik.

"Biarlah siasatan polis berjalan,” katanya.

Ketika disoal, Zulkarnain juga tidak bersedia untuk menyatakan bilakah keputusan akan dibuat bagi menarik balik sekatan ke atas Sarawak Report.

“Kami boleh menyekatnya lebih awal, tetapi kami tidak berbuat demikian,” katanya yang membayangkan bahawa suruhanjaya itu sudahpun menerima aduan ke atas laman pembocor maklumat tersebut.

Zulkarnain bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang membuat aduan berkenaan.

Ahad lalu, SKMM membuat sekatan ke atas Sarawak Report, yang menerbitkan sejumlah pendedahan mengenai skandal 1MDB.

Menurut suruhanjaya tersebut, kandungan laman berkenaan antara lainnya boleh “mewujudkan keadaan tidak tenteram dan seterusnya menganggu-gugat kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi," kata SKMM.

Taklimat berkenaan dihadiri lebih 10 orang editor, termasuk dari The Malaysian Insider, The Star dan New Straits Times.

Zulkarnain juga memberitahu editor berkenaan supaya mengambil sikap “berhati-hati” dalam laporan mereka.

Namun, beliau menegaskan bahawa ia “bukan satu amarana” dan hanya satu “nasihat”.

“Apabila keadaan memerlukan, kita akan bertindak,” katanya.


Tiada ulasan: