Rabu, 22 Julai 2015

'Siapa dalang di belakang Lester Melanyi?'

MALAYSIAKINI



 
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa pihak berkuasa mencari dalang di belakang percubaan Lester Melanyi untuk mengaitkan beberapa pemimpin pembangkang dalam dakwaan memalsukan dokumen berkaitan 1MDB.

Ini susulan pendedahan terbaru berkaitan kesilapan dalam video pengakuan Lester yang mana sekeping gambar individu yang tiada kaitan dengan Sarawak Report yang digambarkan sebagai "pereka web".

Lester menuduh individu itu yang dikenali sebagai James Stewart Stephens, bertanggungjawab terhadap dakwaan 90 peratus dokumen yang direka-reka, yang digunakan oleh laman web pendedah maklumat itu untuk mengaitkan 1MDB.

Menurut Malay Mail Online, gambar yang dikeluarkan oleh Lester pada hakikatnya dikenali James Stewart, yang bekerja dengan rangkaian keretapi Abellio Greater Anglia di United Kingdom.

Syarikat tersebut menolak dakwaan bahawa Stewart sebagai pemalsu.

Mengulas perkara tersebut, Rafizi berkata jelas bahawa pengakuan Lester Melanyi itu palsu dan bermotif keuntungan kepada dirinya selepas beliau sendiri mengakui menerima wang untuk menghasilkan video itu.

"Saya juga percaya bahawa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia wajar menyiasat Lester Melanyi untuk mengetahui siapa dalang di belakangnya yang membayar Lester Melanyi untuk menyebarkan tuduhan palsu kerana tuduhan-tuduhan itu mengganggu siasatan skandal 1MDB yang sedang berjalan sekarang," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata Menteri Kabinet Datuk Abdul Rahman Dahlan, pemimpin yang pertama mendedahkan dakwaan Lester, sepatutnya meminta maaf kerana menjaja "pengakuan" Lester  kepada umum.

"Dengan pendedahan pada hari ini bahawa dakwaan Lester Melanyi tentang kewujudan seorang jurugrafik pakar yang membuat dokumen palsu itu rekaan Lester Melanyi semata-mata, wajarlah Datuk Abdul Rahman Dahlan tampil meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana beliau sendiri membawa berita palsu yang tidak disemak kesahihannya untuk mengelirukan rakyat mengenai skandal 1MDB," katanya.

Video pengakuan Lester digunakan oleh Rahman untuk untuk menimbulkan kesangsian terhadap integriti Sarawak Report.

Rahman mendakwa bahawa Lester pernah bekerja dengan laman web itu.

Antara isu-isu lain, Rahman berkata Lester telah menghasilkan pengakuan oleh editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown bahawa beliau telah memalsukan dokumen.

Akhirnya, Rewcastle menghasilkan dokumen untuk menunjukkan bahawa Lester memetik beliau di luar konteks dan dia tidak pernah bekerja dengan Sarawak Report, sebaliknya pernah berkhidmat singkat dengan organisasi Radio Free Sarawak.

Tiada ulasan: