Rabu, 22 Julai 2015

Senarai hitam Najib juga, tuntut Kit Siang

MALAYSIAKINI


 


Senaraihitamkan Datuk Seri Najib Razak dan tokoh lain yang berkaitan dengan isu 1MDB - itu kemahuan Lim Kit Siang selepas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dilarang ke luar negara hari ini.

Bercakap dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, kerajaan mesti berlaku adil dan memberi penjelasan mengapa Pua dihalang membuat perjalanan ke luar negara.

Turut disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia ialah Ahli Parlimen Pandan yang juga Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

"Ahli parlimen dilarang meninggalkan negara ini. Saya fikir rakyat berhak tahu mengapa mereka dihalang.

"Saya mahu bertanya - adakah semua orang yang terbabit dalam isu 1MDB kini disenarai hitam? Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga disenaraikan? Jika ada sesiapa yang berhak disenarai hitam, ia adalah Najib," katanya.

Terdahulu, Pua gagal melepasi pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan ke Indonesia.

Kata Lim, dalam keadaan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad - yang kini menjadi pengkritik 1MDB paling keras - juga mungkin berdepan larangan ke luar negara.

Teori konspirasi

"Banyak perkara aneh dan luar biasa berlaku ketika ini. Saya fikir ia (larangan terhadap Dr Mahathir) sangat mungkin," katanya.

Semenara itu Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming yang hadir dalam sidang media sama mengesahkan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Halmi dan CEO ketika ini, Arul Kanda Kandasamy, tidak termasuk dalam senarai larangan ke luar negara.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong (gambar) pula berpendapat larangan perjalanan itu adalah permulaan kepada tindakan keras kerajaan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kes 1MDB.

Liew merujuk kenyataan itu kepada penjelasan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pagi tadi yang memberitahu, polis mungkin menangkap individu dinamakan oleh Lester Melanyi dalam pengakuan videonya.

Dalam kenyataan itu, Lester mendakwa beberapa pihak terbabit dalam konspirasi bagi menyingkirkan perdana menteri dan menggagalkan 1MDB.

"Ketua Polis Negara mesti menjelaskan apa dimaksudkan dengan teori konspirasi itu dan siapa yang dimaksudkan," katanya.

Tiada ulasan: