Sabtu, 18 Julai 2015

Seminggu fikir, Mhd Nasir pilih letak jawatan

Mhd Nasir
Mhd Nasir
 
 
GEORGETOWN - Exco kerajaan tempatan, Chow Kon Yeow mengesahkan peletakan jawatan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dari Pas, Mhd Nasir Yahya.

Kon Yeow menerima surat peletakan jawatan itu dari Mhd Nasir sendiri semalam. “Surat peletakan jawatan itu diserah sendiri  Mhd Nasir  ke pejabat saya di Komtar pada petang semalam.

“Saya bagi pihak Kerajaan Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada beliau atas sumbangan dan perkhidmatan sebagai Ahli MBPP selama ini,” katanya menerusi kenyataan medianya, hari ini.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Mhd Nasir berkata, tindakan meletak jawatan adalah keputusannya sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Menurutnya, setelah seminggu memikirkan perkara itu, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai Ahli Majlis.

“Setelah menimbang di setiap sudut, saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan. Saya merasakan, bagus saya letak jawatan demi prinsip dan maruah peribadi serta parti.

“Amat berat untuk ambil keputusan ini namun saya perlu meletak jawatan ini setelah berfikir masak-masak meskipun masih banyak kerja (membela rakyat) yang belum selesai. Keputusan ini adalah dari saya sendiri, tiada pihak yang mempengaruhi,” katanya.

Mhd Nasir dilantik sebagai Ahli Majlis menerusi penamaan dari Pas sejak tahun 2014 dan dilantik semula pada tahun ini.

Beliau dilantik menjadi Ketua Whip Ahli Majlis Pas bagi tahun ini.

Beliau juga dilantik dalam tiga Jawatankuasa Tetap iaitu Pengurusan Kewangan, Infrastruktur dan Lalu Lintas, dan, Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam.

Sebelum ini, Setiausaha Pas negeri yang berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan gred S41 dalam Kerajaan Pulau Pinang dipecat berkuat kuasa Jumaat lalu.

Notis bertarikh 12 Jun dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang dihantar sendiri kepada Mohd Fadzil Kemi yang memegang jawatan sebagai Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri.

Sehari sebelum itu, Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Rosidi Hussain meletak jawatan sebagai Pengarah Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang.

Perkara itu disahkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang menerima peletakan jawatan itu.

Sementara itu, Sabtu lalu (6 Jun), bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) memutuskan untuk melepaskan jawatannya sebagai Lembaga Pengarah Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub.

Dua hari selepas tindakan Mat Sabu itu, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menerusi laman Facebooknya turut mengumumkan peletakan jawatan serta merta sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang.


Tiada ulasan: