Sabtu, 11 Julai 2015

Sama ada Najib mangsa atau dalangnya, kewibawaan beliau telah remuk




Oleh TheAntdaily


Jadi sekarang beritanya telah tersebar. Penerbitan perniagaan dan pelaburan yang berpangkalan di AS, Wall Street Journal menyatakan bahawa 1MDB telah memindahkan hampir AS$700 juta (kira-kira RM2.6 bilion) ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib Razak pada tahun 2013. Pemindahan itu dikatakan telah berlaku beberapa hari sebelum PRU13 tahun itu.

Sebuah panel pasukan petugas dengan empat anggota telah pun ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut. Pasukan petugas itu dilaporkan telah membekukan 17 akaun bank untuk memudahkan siasatan. Walau bagaimanapun, tiada akaun bank ini dikatakan dimiliki Najib.

Ahli-ahli pasukan ini adalah Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, Peguam Negara Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Abu Kassim Mohamed.

Jika dakwaan ini benar, adalah tidak munasabah bahawa perbuatan sekeji ini terlepas tanpa hukuman. Ia adalah satu pengkhianatan terhadap amanah yang dipegang oleh lelaki berjawatan tertinggi di negara ini. 

Tetapi jika tuduhan tersebut didapati tidak benar, maka Najib pasti telah menjadi mangsa kempen fitnah yang kejam.

Dalam responsnya, Najib hanya menyatakan bahawa beliau tidak pernah menggunakan mana-mana dana untuk "kepentingan peribadi". Tetapi ketiadaan penafian dan kecaman beliau terhadap pendedahan Wall Street Journal, telah menyebabkan desas desus tercetus mengenai masa depan politiknya. Ada yang membuat spekulasi bahawa wang itu mungkin telah digunakan untuk "membeli undi" dalam PRU13.


Apa sahaja keputusan akhir siasatan, kewibawaan Najib telah remuk. Ia mungkin sukar untuk dipulihkan. Ramai pihak kini membandingkan keadaan Najib dengan skandal Watergate yang menyebabkan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon meletakkan jawatan pada tahun 1974.

Ia berkisar tentang integriti. Ia adalah topik yang hangat diperkatakan pada bibir semua orang sejak dakwaan skandal ini timbul. Menariknya, pada 20 Februari 2013, Najib telah menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International.

Melalui ikrar ini, Najib dan kerajaan komited untuk "menegakkan integriti dan mengukuhkan komitmen agenda negara dalam membanteras rasuah terutamanya dalam PRU13 akan datang.

Selepas menandatangani ikrar itu, Najib kemudiannya menulis: "Saya percaya sebagai pemimpin BN saya perlu menetapkan nada yang lantang. Hanya seorang calon yang dianggap telah berjuang secara bersih dan adil dalam pilihan raya akan membawa kepada sebuah kerajaan yang boleh dipercayai dan dihormati oleh rakyat. "

Ironis, jika dilihat dari apa yang berlaku beberapa hari lalu.

Adakah sesiapa yang masih percaya terhadap Najib pada masa ini ini? Jika beliau tidak menggunakan wang tersebut untuk "kepentingan peribadi", adakah wang ini digunakan untuk tujuan bukan peribadi, bagi membantu BN memenangi pilihan raya?

Mengapakah begitu banyak wang tunai telah dipindahkan ke dalam sebuah akaun individu? Begitu banyak persoalan. Namun tiada jawapan.

Satu perkara yang pasti adalah, sama ada Najib adalah mangsa atau dalangnya, kewibawaan beliau telah hancur.


Tiada ulasan: