Rabu, 22 Julai 2015

Rumah terbuka hari raya Plaza Low Yat belum sahih

MALAYSIAKINI


 


Pihak pengurusan Plaza Low Yat hari ini menganggap cadangan majlis rumah terbuka hari raya yang didakwa dianjurkan bersama MCA di premis mereka sebagai maklumah yang "belum disahkan".

Pegawai Komunikasi Plaza Low Yat, Gary Lam berkata, maklumat yang tersebar di media sosial mengenai majlis itu belum dapat dibuktikan.

"Kami ingin menjelaskan bahawa ia belum disahkan pihak pengurusan Plaza Low Yat," katanya.

Dalam kenyataan sama Lam juga meminta orang awam mengabaikan mesej mengenai majlis berkenaan dan tidak menyebabkan kekeliruan dengan menyebarkan kepada pihak lain.

"Kami akan mengedarkan kenyataan rasmi dan tepat mengenainya sebaik saja mendapat pengesahan sebarang butiran mengenainya," kata Lam.

Kenyataan itu dibuat ekoran laporan mendakwa Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mencadangkan supaya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengadakan sambutan rumah terbuka di Plaza Low Yat.

Pusat perniagaan itu menjadi tumpuan dan kekecohan pada 12 Julai lalu ekoran dakwaan berlaku kecurian telefon bimbit dan pergaduhan.

Laporan menyatakan sejak insiden itu perniagaan di plaza berkenaan tidak serancak biasa.

Sementara itu dalam sidang medianya, Liow berkata MCA akan mencari jalan membantu peniaga di pusat beli-belah berkenaan.

"MCA akan berhubung dengan mereka untuk butiran lanjut mengenainya," kata beliau.

Liow juga tidak menyebut mengenai majlis rumah terbuka dalam sidang media berkenaan, sebaliknya memberitahu, MCA akan mengadakan dialog dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya tindakan sewajarnya diambil bagi melindungi keselamatan orang awam. 


Tiada ulasan: