BERNAMA
Restoran makanan segera
dan kedai makan 24 jam dikenal pasti menjadi 'lubuk' bagi segelintir
umat Islam di ibu kota yang tidak berpuasa, kata Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan (JAWI).
KUALA LUMPUR- Restoran makanan segera dan kedai makan 24 jam dikenal pasti menjadi ‘lubuk’ bagi segelintir umat Islam di ibu kota yang tidak berpuasa, kata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama jabatan
itu, Wan Jaafar Wan Ahmad berkata lima lokasi tumpuan di Kuala Lumpur
dikesan menjadi pilihan ‘kaki ponteng’ iaitu di Jalan Semarak, Pusat
Bandar Damansara, Bukit Bintang, Wangsa Maju dan Bandar Permaisuri,
Cheras.
“Berdasarkan pemerhatian kami, mereka
memilih untuk beli dan makan di restoran makanan segera dan kedai makan
24 jam kerana khidmat yang ditawarkan lebih cepat serta tiada yang
berani mempersoalkan tindakan mereka.
“Bagaimanapun ada juga yang berani makan
di gerai-gerai tepi jalan dengan selamba tanpa rasa segan. Mereka
langsung tidak menghormati bulan Ramadan,” katanya kepada Bernama.
Menurut Wan Jaafar, seramai 28 individu
dalam lingkungan 18 hingga 53 tahun ditahan kerana merokok, makan di
khalayak ramai dan menjual makanan kepada umat Islam dalam operasi
penguatkuasaan yang dilakukan bermula awal Ramadan sehingga Selasa lalu.
Beliau berkata jumlah itu meningkat berbanding 18 individu yang ditahan tahun lepas.
Wan Jaafar berkata kebanyakan mereka yang
ditangkap memberi alasan sakit dan terpaksa mengambil ubat berjadual
atau tidak sempat bersahur.
“Ada juga yang beri alasan bekerja sebagai buruh di tempat pembinaan, pemandu yang sedang bermusafir dan sakit gastrik.
“Bagaimanapun kita tidak mempersoalkan
perkara itu, yang kami ambil tindakan kerana mereka tidak menghormati
bulan suci ini dengan makan di tempat awam,” katanya.
Beliau berkata bagi mereka yang menjual
pula memberi alasan terpaksa menyediakan makanan atas permintaan
pelanggan tetap dan terpaksa berniaga bagi mengelakkan punca pendapatan
terjejas.
“Ada antara mereka mengambil kesempatan
buka gerai untuk jual kepada bukan Islam tetapi bila kita periksa
kuantiti yang dimasak banyak seperti hari biasa,” katanya.
Wan Jaafar berkata seramai 12 anggota
penguat kuasa Jawi ditugaskan memantau sekitar ibu negara bagi
membanteras kegiatan yang mencemar imej umat Islam.
Individu yang ditahan atas kesalahan itu
boleh didakwa mengikut Seksyen 15a dan b Akta Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum
enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit
kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan