Sabtu, 11 Julai 2015

Potongan harga 'membunuh' pembeli

Potongan harga 'membunuh' pembeli
Pemandangan di sebuah pusat membeli-belah di Marang kelmarin, menyaksikan umat Islam mula sibuk buat persiapan menyambut Aidilfitri.
 
 
MARANG - Hanya tinggal lebih kurang seminggu menjelang Aidilfitri, pemandangan di pusat membeli-belah dan pasar mingguan di daerah ini kelihatan sibuk menyaksikan umat Islam mula membuat persiapan.

Bagi menyemarakkan suasana perayaan itu, pelbagai promosi dan potongan harga ditawarkan kepada pengunjung untuk mendapatkan kelengkapan pakaian baharu, biskut raya dan sebagainya.

Namun, promosi itu dikatakan menyebabkan ada sesetengah daripada kita berbelanja melebihi kemampuan sehingga ada yang sanggup berhutang untuk nampak bergaya menyambut hari raya nanti.

Perkara itu turut diakui seorang pelanggan yang ditemui di pasar mingguan di Rusila semalam, Mohamad Abdullah Muda, 50, yang berkata, masyarakat memang gemar berbelanja berlebihan terutama pada musim perayaan.

“Malah saya juga pasti ada yang sanggup berhutang untuk menyambut hari raya,” katanya.

Dia yang merupakan kontraktor berkata, antara kesilapan yang sering dilakukan masyarakat ialah mengutamakan perbelanjaan semasa tanpa melihat perbelanjaan mereka selepas berakhirnya perayaan itu.

Bagi memastikan seseorang individu itu tidak berbelanja lebih pada musim perayaan, Mohamad Abdullah berpendapat, perkara utama harus diberi perhatian adalah meneliti kedudukan kewangan masing-masing terlebih dahulu.

“Paling penting ialah mereka perlu senaraikan berapa banyak peruntukan bagi perbelanjaan dari yang paling penting kepada kurang penting, dan perbelanjaan yang boleh ditangguhkan terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Khairuddin Mat Isa, 46, ditemui di sebuah pasar raya di sini berkata, perancangan bajet bagi persiapan hari raya amat perlu dan membantu dirinya untuk berbelanja secara bijak.

“Kalau ada pakaian yang masih elok dan boleh dipakai, saya pakai. Cukuplah sepasang baju raya untuk saya, selebihnya utamakan anak-anak,” katanya.

Tambahnya, dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi, perbelanjaan Aidilfitri tahun ini lebih sederhana.
 
 

Tiada ulasan: