Rabu, 15 Julai 2015

PERKASA: Tolak Islam jadi nama parti

MALAYSIAKINI



 
 
Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali menggesa kerajaan melalui Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak membenarkan pendaftaran parti politik baru menggunakan nama Islam.

Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi mengelak mana-mana agama daripada menjadi instrumen politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, lapor Utusan Malaysia.

Tambahnya lagi, Akta Pertubuhan 1966 perlu dipinda serta merta bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku, katanya PAS juga perlu menukar penggunaan Islam dan diganti dengan nama lain.

“Saya dimaklumkan ada nama parti baru dengan nama parti progresif Islam dan Parti Islam Demokratik akan ditubuhkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Apabila ada kebenaran untuk mendaftarkan nama parti sebegini akan ada parti Islam progresif, ada yang tidak progresif sekali gus merosakkan nama Islam.

“Agama ini cantik dan sempurna tetapi orang yang mendukung parti itu tidak sempurna. Jadi, kita desak supaya tidak diizinkan nama Islam dalam nama parti politik.

“Bukan sahaja yang baru ini. PAS juga kena pinda, mereka boleh kekal nama PAS tetapi tidak boleh parti Islam Se-Malaysia lagi,” beliau dilaporkan berkata.

Isnin lalu, kumpulan progresif PAS mengumumkan menubuhkan kumpulan Gerakan Harapan Baru, yang akan merintis penubuhan sebuah parti Islam baru yang lebih terbuka.

Kumpulan itu tewas teruk di tangan kumpulan proulama dalam pemilihan pari itu Jun lalu.
 

Tiada ulasan: