Sabtu, 25 Julai 2015

Peniaga sayur maut ditembak

Mangsa telah ditembak sebanyak dua das di dada dan disahkan meninggal dunia di hospital.


crime_gun_600_1


KUALA LUMPUR: Seorang peniaga sayur maut selepas ditembak penjenayah di hadapan sebuah restoran di Selayang di sini malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, mangsa seorang lelaki berumur 57 tahun menjual sayur di Pasar Borong Pusat Bandar Utara, Selayang, dilaporkan baru sahaja selesai memunggah barang dari lori.

Dia berkata, berdasarkan keterangan saksi mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal.

“Suspek telah melepaskan dua das tembakan ke arah dada mangsa dan terus melarikan diri,” katanya ketika dihubungi FMT.

Munusamy memberitahu, polis menemui dua butir kelongsong peluru yang digunakan untuk menembak mangsa di tempat kejadian.

Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Selayang oleh isterinya sejurus selepas kejadian berlaku.

Ujarnya, doktor telah mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira jam12.10 malam sejurus dibawa ke hospital.

Menurut Munusamy, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

“Polis sedang mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Tiada ulasan: