KUALA LUMPUR- Kebanjiran peniaga makanan dan minuman tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai peniaga ‘Rambo’ di Bazar Ramadan di Jalan Masjid India, dekat sini didakwa menjejaskan pendapatan lain yang memperoleh tapak melalui tender.


Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan, Datuk Rosli Sulaiman, berkata pendapatan 67 peniaga yang memperoleh tapak melalui tender di bazar berkenaan merosot sehingga 70 peratus ekoran daripada masalah terbabit.

Menurutnya, peniaga-peniaga tersebut terpaksa mengeluarkan modal antara RM10,000 dan RM37,000 untuk mendapatkan tapak perniagaan, namun rezeki mereka diganggu peniaga ‘Rambo’ yang membanjiri kawasan berkenaan selepas waktu Maghrib.

“Peniaga ‘Rambo’ ini  menghalang laluan yang disediakan dan menyebabkan pelanggan sukar mengunjungi dari satu khemah ke khemah lain.

“Malah daripada 300 peniaga minuman yang berniaga, hanya 150 peniaga mempunyai lesen dan selebihnya berniaga secara haram.

“Namun begitu, apa yang lebih dikesali ialah penguatkuasaan dan kawalan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang cukup lemah menyebabkan peniaga ‘Rambo’ ini semakin berleluasa,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Rosli, ekoran daripada kelemahan penguatkuasaan DBKL, keselamatan pengunjung dan juga peniaga di bazar berkenaan juga turut terancam.

Jelasnya, peniaga ‘Rambo’ itu berani berniaga sate, keropok lekor, ‘steamboat’ dan juga mercun di tengah-tengah laluan utama bazar berkenaan.

“Bagaimana sekiranya minyak dan air panas terkena orang ramai yang datang atau percikan api mercun menyebabkan khemah yang kebanyakannya dipenuhi pakaian terbakar?

“DBKL harus peka dengan situasi ini kerana Jalan Masjid India adalah antara kawasan tumpuan utama ramai pada bulan Ramadan dan seharusnya kawalan yang disediakan cukup ketat dan teliti,” ujarnya.

Rosli berkata, pihaknya mewakili peniaga mempunyai lesen sah di bazar berkenaan akan menghantar memorandum bantahan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur serta Menteri Wilayah Persekutuan pada jam 11 pagi, esok.

Tindakan itu katanya, bagi membolehkan masalah berkenaan diselesaikan dan membolehkan mereka sekurang-kurangnya memperoleh kembali modal perniagaan mereka.

“Diharapkan dalam baki beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri ini,  membolehkan peniaga-peniaga mendapat pulangan modal atau menghabiskan stok jualan mereka ,” tegasnya.