Selasa, 14 Julai 2015

Pekerja di Plaza Low Yat bimbang gesaan boikot

 
Walaupun telah disahkan insiden itu tiada kaitan isu perkauman namun orang ramai terlebih dahulu mendapat maklumat daripada media sosial.


boikot


KUALA LUMPUR: Insiden pergaduhan di Plaza Low Yat membimbangkan peniaga dan pekerja di pusat beli yang terkenal sebagai lokasi menjual barangan elektronik dan gajet murah.

Apatah lagi terdapat gesaan supaya pengguna memboikot Plaza Low Yat ekoran kejadian itu.

Walaupun telah disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa kejadian itu berkaitan kes curi tanpa melibatkan unsur perkauman, namun pengguna lebih dahulu mendapat maklumat daripada media sosial dan masih teragak-agak.

Tidak separti kebiasaannya yang dipenuhi pengunjung, Plaza Low Yat sunyi sepi apabila banyak premis perniagaan menutup perniagaan kerana bimbang berlaku gelombang kedua pergaduhan.

Tinjauan FMT pada Isnin mendapati keadaan lengang apabila sebahagian besar premis tidak beroperasi kerana bimbang keselamatan ekoran kejadian pergaduhan pada Sabtu yang berlanjutan sehingga awal pagi Isnin.

Bagi jurujual telefon bimbit, Hanafie Ishak, 31, amat membimbangkan jika keadaan sunyi dan lengang itu berterusan yang boleh menjejaskan perniagaan.

“Kejadian tersebut menyebabkan hasil perniagaan kami berkurangan. Bahkan pelanggan juga berkurangan, kemungkinan pelanggan takut hadir kerana bimbang pergaduhan itu akan berulang.

“Sepatutnya, musim sekarang ni penuh dan ramai orang. ‘Sale’ pun okey. Sekarang ni, kita tidak tahu sale hari ini macam mana,” katanya yang tidak menafikan terdapat segelintir peniaga yang menjual barang tiruan.

“Tempat ini memang terkenal dengan benda itu (barangan tiruan), ramai dah yang tahu,” ujarnya.

Jurujual barangan komputer yang hanya ingin dikenali sebagai Shafie, berkata bilangan pengunjung yang berkurangan sudah pasti akan menjejaskan jualan.

“Sale makin berkurangan. Pada pagi, ada peniaga yang hendak buka kedai, tapi apabila nampak.tidak selamat, mereka tutup semula,” ujarnya.

Shafie berkata, isu perkauman tidak sepatutnya timbul kerana peniaga di Plaza Low Yat terdiri pelbagai bangsa dan saling mengenali.

“Bukan sahaja peniaga Cina, tetapi di sini ada juga peniga India, Melayu bahkan Pakistan juga ada. Saya di sini sejak 2008 lagi, kami (peniaga) kenal antara satu sama lain,” katanya.

Tiada ulasan: