Isnin, 13 Julai 2015

PAS 'cerai' DAP, Tok Him buat kenduri kesyukuran

MALAYSIAKINI



 
 
 
Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali bercadang untuk mengadakan kenduri dan majlis kesyukuran selepas Aidilfitri bagi meraikan keputusan Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan dengan DAP seperti yang diumumkan semalam.

Beliau yang selaku MP Pasir Mas atas tiket PAS pada 2008, berkata langkah itu dibuat bagi membuktikan sikap dan pandangannya terhadap DAP "tepat dan betul" sehingga mendorong terputusnya kerjasama beliau dengan PAS.

Menceritakan perkara itu, Ibrahim berkata beliau ketika itu lantang menegur PAS yang didakwanya membisu dalam perkara melibatkan Islam, Melayu dan institusi raja selepas berkerjasama politik dengan DAP yang kemudiannya mendakwa Islam menjadi lemah dan perpaduan ummah terancam.

"Saya tidak boleh menerima PAS diperkudakan oleh DAP, walaupun saya bukan ahli PAS. Namun bila PAS bertahaluf siyasi dengan DAP terutamanya, Islam menjadi lemah dan perpaduan ummah terancam.

"Waktu mendiang Karpal Singh hidup, saya ingat bagai tegangnya saya dalam Parlimen apabila Karpal menegaskan langkah mayat dia dulu kalau mahu menegakkan Islam. Bila saya menyerang DAP dan Anwar, saya ditegur oleh arwah (Datuk) Nik Aziz.

"Beberapa MP dan pemimpin PAS cuba pujuk saya jangan serang DAP dan Anwar. Saya tidak peduli yang akhirnya, pusat khidmat saya selaku MP Pasir Mas disimbah cat. Di sinilah putusnya kerjasama saya dengan PAS," katanya.

Beliau mengulas keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membuat keputusan muktamad memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP kerana "provokasi berterusan" yang dibuat DAP sehingga melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat.

Dalam satu kenyataanya petang ini, Ibrahim berkata penubuhan NGO pendesak Melayu yang diketuainya kini juga ada kaitan dengan permainan politik PAS dan DAP sebelum ini, cuma PAS masih kekal kerjasama dengan PKR.

Menurutnya, beliau menolak Anwar atas "dasar isu moral" yang disahkan oleh mahkamah dan menggesa PAS menolak Anwar kerana prinsip PAS sepatutnya memperkasakan kepimpinan Islam menolak pemimpin yang tidak berakhlak dan mendokong pluralisme.

"PAS patutnya menonjol Tuan Guru Haji Hadi Awang sebagai calon PM dan bukannya Anwar. Ini saja lagi isu dan halangan, jika PAS benar-benar teguh berjuang kerana Islam dan demi rakyat dan negara," katanya.

"Peristiwa ini amat bermakna kerana Islam tidak terus dijadikan alat politik dan melemahkan perpaduan ummah. Takbir," katanya. 
 
 
 

Tiada ulasan: