Sabtu, 18 Julai 2015

Papagomo mungkin direman lebih lama - KPN

ANTARAPOS.COM


Post Pic
KUALA LUMPUR: Blogger Papagomo kemungkinan besar akan menyambut Aidilfitri di tirai besi sekiranya pegawai siasatan mahu meremannya lebih lama, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Pegawai siasatannya daripada Kuala Lumpur, jadi kalau mereka perlukan tambahan, kita akan lakukan.
"Kalau dah selesai siasatan mungkin dia akan merujuknya kepada pendakwaraya," katanya kepada pemberita semasa majlis rumah terbuka di Bukit Aman, hari ini.
Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris ditahan dua hari lalu berikutan penulisan artikelnya yang dilihat boleh mencetuskan isu perkauman dalam insiden pergaduhan di Plaza Low Yat, minggu lalu.
Blogger itu ditahan selepas menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Blogger itu dan presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju direman selama dua hari mengikut Akta Hasutan.
Ali pula didakwa menyebut lima ayat berbentuk provokasi perkauman di hadapan plaza berkenaan pada jam 8.30 malam, Ahad lepas.
Sementara itu, Khalid memberi jaminan Plaza Low Yat dalam keadaan yang aman dan selamat dikunjungi umum.
"Saya sahkan sendiri tempat itu selamat, cuma beberapa beruk yang cuma nak mengganggu ketenteraman awam dan menggembar-gemburkan keadaan."
Beliau juga menafikan pengumuman Facebook penyokong Papagomo kelmarin, 12 NGO termasuk Pekida dan Perkasa bersetuju untuk berkumpul di hadapan Plaza Low Yat esok untuk membalas dendam kepada kaum Cina ekoran pihak polis bersikap berat sebelah dalam mengendalikan kes rusuhan tersebut.
"Itu tidak betul. Kalau mereka lakukan juga, polis akan ambil tindakan,"kata beliau.
 

Tiada ulasan: