Isnin, 27 Julai 2015

Padah cuba seludup masuk dadah ke penjara

Padah cuba seludup masuk dadah ke penjara
Nasri (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin yang berjaya dirampas selepas menahan seorang suspek di luar kawasan pagar tembok PPA Batu Gajah berhampiran depoh lama JKR Batu Gajah, hari ini.

 
BATU GAJAH - Cubaan seorang lelaki menyeludup pelbagai jenis dadah masuk ke Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah gagal apabila ditahan polis di berhampiran penjara terbabit.

Ketika ditahan kira-kira jam11.50 pagi, pihak polis menemui beberapa bungkusan dadah jenis heroin seberat 950 gram, methamphetamine (56 gram), ganja (96 gram), sejumlah tembakau, dua telefon bimbit, alat pengecas dan pemetik api.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Nasri Omar berkata, suspek berusia 34 tahun itu dipercayai cuba menyeludup dadah ke PPA Batu Gajah melalui cara membaling barangan terbabit dari luar tembok masuk ke dalam penjara.

Menurutnya,  siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan tiga kes berkaitan dadah dan dua kes jenayah samun malah ujian saringan awal mendapati suspek positif methamphetamine.

"Dalam kes ini suspek telah membuat persiapan dengan membalut kesemua dadah dengan pita pelekat dan dimasukkan ke dalam sarung kaki.

"Nilai rampasan berjumlah RM62, 462 dan ia merupakan rampasan terbesar bagi kes berkenaan pada tahun ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah Nasri lagi, pihak polis juga percaya suspek mempunyai rakan jenayahnya yang masih bebas.

“Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 8 Ogos depan untuk membantu siasatan.

"Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut sama ada terdapat penglibatan mana-mana individu atau tahanan banduan dalam penjara yang mempunyai rangkaian dengan suspek, " katanya lagi.


Tiada ulasan: