Isnin, 13 Julai 2015

NGO Ini Sahkan Akaun Najib Di Ambank, Perlu Disiasat Oleh Pasukan Petugas Khas

shahbudindotcom


 
 
Sebuah NGO baru dan kurang dikenali, Citizens For Accountable Governance Malaysia atau CAGM tampil dengan dakwaan yang mengejutkan berkaitan Najib Razak yang didakwa menerima wang berkaitan 1MDB ke dalam akaun peribadinya.

Berdasarkah dokumen mahkamah yang didakwa ada dalam simpanan mereka, NGO itu mendakwa berjuta-juta ringgit telah disalurkan daripada akaun bank milik Perdana Menteri itu kepada parti-parti komponen BN menjelang PRU 13 yang lalu.

Dakwaan ini seakan mengesahkan lagi bahawa akuan bank Najib Razak di Ambank sebagaimana yang didakwa oleh The Wall Street Journal adalah benar- benar wujud.

Jika sebelum ini pasukan petugas khas hanya mengesahkan akaun bank tersebut wujud, cuma sudah ditutup, NGO ini lebih ke depan dengan mendakwa turut menyiimpan dokumen mahkamah yang membuktikan bagaimana sebahagian wang daripada akaun Najib itu dibelanjakan.

Dengan ini, NGO yang baru-baru ini turut menawarkan ganjaran RM1 juta kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat mengenai kehilangan wang negara ketika era pentadbiran Tun Mahathir, sewajarnya turut disiasat oleh pasukan petugas khas terbabit.

Walaupun Pengerusinya Md Zainal Abidin turut menyalahkan Tun Mahathir melalui pemberian bantuan kewangan yang disifatkan "sistem melancar" kepada parti-parti komponen BN, NGO ini perlu diambil keterangannya berkenaan maklumat yang mereka ada.

Katanya, sistem melancar dan "back up" parti- parti komponen dengan wang ini adalah diperkenalkan oleh Tun Mahathir dan Najib kini terpaksa menanggungnya bagi memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya.

Selain itu, beliau yang mendakwa parti-parti komponen menerima RM30 hingga RM50 juta, parti-parti yang mesra BN serta NGO juga turut menerima sumbangan kewangan daripada Najib antara RM1 juta hingga RM8 juta setiap satu.

Dengan menyiasat CAGM ini, ia mungkin menjadi pelengkap kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pasukan petugas khas terhadap Perdana Menteri.

Antara perkara yang perlu dipastikan ialah apakah dokumen mahkamah itu sahih dan bagaimana ia boleh berada dalam simpanan NGO tersebut?

Kiranya benar dokumen mahkamah itu sahih, ia adalah petunjuk yang pasti menyukarkan lagi untuk Najib menafikan kewujudan pengaliran wang masuk ke dalam akaunnya sebagaimana yang didakwa oleh WSJ lebih seminggu yang lalu.

Kiranya tidak benar pula, CAGM sudah dipasti boleh didakwa kerana membuat tuduhan palsu terhadap Perdana Menteri.

Tetapi jika pasukan petugas khas tidak menyiasat CAGM pula, ia bermakna seolah-olah mereka cuba melindungi dalam penyiasatan yang dijalankan.

Segalanya kini terpulang kepada pasukan petugas khas membuat keputusannya, namun dengan CAGM secara terbuka membuat pendedahan ini, ia adalah tawaran terbuka agar mereka turut disiasat dan diambil keterangannya.

Najib sehingga ini tidak pernah menafikan secara tepat mengenai kewujudan akaun bank serta pengaliran masuk wang berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya, sebaliknya hanya berkata, tidak akan mengkhianati amanah rakyat dan tidak pernah menggunakan wang 1MDB atau mana-mana entiti lain untuk kepentingan peribadinya.

Tiada ulasan: