MALAYSIAKINI
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta perdana
menteri tampil membuat penjelasan terhadap dakwaan yang dikenakan
terhadapnya oleh Wall Street Journal (WSJ) semalam.
Kata Muhyiddin, memandangkan dakwaan yang dibuat media itu bersifat
peribadi ke atas Datuk Seri Najib Razak, perdana menteri perlu membuat
penjelasan atau penafian meyakinkan.
"Sekiranya beliau yakin semua tuduhan itu adalah tidak benar dan fitnah
semata-mata, maka adalah wajar beliau mengambil tindakan undang-undang
ke atas pihak-pihak yang membuat tuduhan demi membersihkan nama beliau
dan mengembalikan kredibiliti kerajaan," katanya dalam kenyataan
dikeluarkan hari ini.
Semalam WSJ melaporkan
berlaku perpindahan dana 1MDB bernilai hampir AS$700 ke akaun
perseorangan yang menggunakan nama "Dato' Seri Mohd Najib Bin Hj Abd
Razak".
Media mendakwa dana itu dipindahkan sejurus sebelum pilihan raya umum ke-13 berlangsung.
Najib sudah membuat kenyataan balas mengenainya lewat malam tadi.
Muhyiddin berkata, pihak berkuasa juga perlu menjalankan siasatan terhadap dakwaan dikenakan terhadap Najib.
Gesaan itu bermakna, jika pihak berkuasa membuka kertas siasatan, turut akan mungkin disoal siasat ialah Najib sendiri.
Kata Muhyiddin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,
Bank Negara Malaysia, polis dan Jabatan Peguan Negara perlu bertindak
segera menyiasat segala tuduhan yang dibuat terhadap Najib.
"Tuduhan ini amatlah berat kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan
integriti Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri dan ketua kerajaan,"
katanya.
Sementara siasatan dijalankan, Muhyiddin menyeru semua pihak supaya bertenang.
"Saya pasti kebenaran akan muncul hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan