SINAR HARIAN
KEMAMAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menafikan
dakwaan bahawa kerajaan akan menyekat beberapa laman sosial di negara
ini.
Dakwaan itu dibuat menerusi penyebaran kenyataan oleh sesetengah pihak
tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan rasa ketidakpuasan hati kepada
seluruh kalangan rakyat negara ini.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan individu
yang menyebarkan dakwaan tersebut tidak bertanggungjawab dan berniat
jahat terhadap negara.
"Itu tidak benar sama sekali. Saya percaya ada pihak yang cuba kaut
keuntungan dengan sebarkan berita-berita sensasi sebegini yang kononnya
kerajaan akan menutup laman-laman media sosial di negara ini.
"Dulunya kita pernah mengkaji apabila orang mencadangkan, tetapi saya
katakan ia tidak wajar kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi
dengan (orang ramai) boleh menyatakan kewajaran dan pandangan.
"Akan tetapi dalam masa yang sama, ia mestilah tidak mencetuskan
huru-hara dan jangan timbulkan kebimbangan dan keresahan orang ramai.
"Jangan bimbang bahawa Facebook, Twitter dan laman-laman sosial lain
takkan ditutup. Jangan percaya dengan sebaran itu sama sekali," katanya
kepada pemberita selepas program penyerahan bubur lambuk bersempena
Program Eksplorasi Sehati Sejiwa 2015 di Hadapan Pasaraya Centre Point
Kemaman di sini hari ini.
Sebelum ini, heboh diperkatakan di dalam media sosial bahawa kerajaan
akan menyekat semua jenis laman sosial seperti Facebook, Twitter,
WhatsApp, Instagram dan lain-lain berkuatkuasa 1 Ogos.
Beliau berkata: "Tindakan akan kita buat (kepada penyebar) sekiranya melanggar undang-undang.
"Jangan perlekehkan peraturan kerana undang-undang adalah menjaga keamanan.
Misalnya lagu Negaraku yang diubahsuai, orang ramai tidak patut sokong dan 'share' kan perkara itu," katanya.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk diagihkan
oleh Pejabat Parlimen Kemaman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia (SKMM) kepada penduduk sekitar kawasan itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan