KUALA LUMPUR- Timbalan Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan Malaysia Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Erwin Khairul Ahmad berkata, benar atau palsu sesuatu hebahan media sosial itu sukar untuk disahkan pada hari ini.


“Sekarang zaman pakar teknologi maklumat (IT), pakar-pakar yang belajar melalui Wikipedia dan Google membuatkan kami sukar untuk berdebat dengan mereka.

“Ini kerana, mereka berguru dengan guru yang tidak sah contohnya dalam isu mengenai pesawat MH370, mereka boleh ceritakan teori-teori dan konspirasi yang pelbagai seperti seorang pakar sedangkan mereka hanya mencari maklumat itu dalam laman pencarian,” katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapannya semasa sesi Dialog Intelektual Belia dan Pengaruh Media Sosial di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, di sini hari ini.

Erwin Khairul berkata, dua hari lalu pengguna media sosial menviralkan pula cerita Zahra dan kisah itu dikongsi ramai kerana ia menyentuh mengenai denyutan nadi orang muda yang hendakkan kehidupan yang selesa.

“Selain itu, dakwaan yang mengatakan bahawa kerajaan akan menyekat laman Facebook, Whatapps, Twitter dan media sosial lain tidak benar dan ia boleh menggelirukan orang ramai.

“Masa banjir di Kelantan dulu pun, ada yang menyebarkan maklumat tidak benar mengenai penemuan mayat bergelimpangan di Manek Urai sehingga mencetuskan perasaan tidak senang oleh pengguna media sosial,” katanya.

Jelasnya, ciri-ciri maklumat palsu adalah berita yang disebarkan itu menggunakan rujukan yang tidak tepat, tidak logik dan memaparkan sumber yang tidak jelas.

“Kenapa mereka menyebarkan berita seumpama itu adalah berkemungkinan mereka mengidap penyakit mental, mahu menjana kewangan sebagai ‘keyboard warrior’, sekadar suka-suka atau mahu membangkitkan kemarahan tanpa mengira kesan yang bakal belaku.

“Antara kesan lain akibat perbuatan itu boleh mencetuskan perasaan cemas, pergaduhan dan boleh merosakkan perniagaan orang lain,” katanya.

Tambahnya, setiap pengguna media sosial perlu bijak menggunakan teknologi ini dan jika menerima berita yang meragukan, janganlah terus dikongsi sebaliknya kongsilah berita itu dengan laman seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), SKMM atau pihak berkuasa lain.

“Setiap maklumat yang ingin dikongsi dalam media sosial perlulah merujuk sumber yang sah.

“Kalau boleh rujuk media arus perdana terlebih dahulu, tunggu kenyataan rasmi dan jangan sebarkan maklumat itu,” katanya.