Ahad, 5 Julai 2015

MARA boleh didakwa elak cukai, ubah wang haram – Rafizi

Oleh: Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR - Pengarah Siasatan NGO National Oversight and Whistleblowers (NOW), Rafizi Ramli berkata MARA boleh diambil tindakan kerana mengelak cukai dan pengubahan wang haram (Money Laundering).

Katanya, empat hartanah yang dibeli MARA Inc di Melbourne didakwa terdapat unsur penyelewengan apabila MARA mengeluarkan bayaran melebihi harga pembelian.

Rafizi RamliBeliau memberi contoh pembelian unit 746 Swanston Street yang mempunyai perbezaan dengan jumlah diluluskan MARA iaitu sebanyak AUD$18.3 juta atau bersamaan RM63 juta.

MARA didakwa membayar dengan harga RM138.6 juta (AUD$41.8 juta) lebih tinggi daripada harga yang dilaporkan iaitu RM75.7 juta (AUD$23.5 juta).

“Apabila AUD$18.3 juta hilang, maka sudah tentu pihak berkuasa cukai berminat untuk tahu apa yang berlaku,” katanya dalam sidang media di Pejabat NOW di Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini

Rafizi berkata, Bank Negara hanya meluluskan AUD$41.8 juta (RM 138.6 juta) untuk dibawa keluar oleh MARA bagi pembelian unit berkenaan.

“Apabila harga jauh lebih rendah dan ada perbezaan sehingga AUD$18.3 juta, dengan langsungnya akan jatuh pada kesalahan mengubah wang haram kerana sebahagian besar wang tidak tahu kemana dan diguna untuk apa.

“Dengan maklumat yang diberi MARA kepada SPRM, saya tidak yakin SPRM akan buka siasatan. Semua skandal yang pernah kami dedahkan sebelum ini, kami yang akan masuk lokap bukan orang yang didedahkan itu,” katanya.

Katanya, Akmal Nasir yang juga Pengarah Eksekutif NOW akan ke Australia dari 10 hingga 14 Julai untuk membuat laporan dengan pihak berkuasa Australia agar keempat-empat urusniaga yang melibatkan MARA disiasat bagi dua kesalahan tersebut.

“Hanya dengan cara ini individu dan pihak yang terlibat boleh dibawa ke muka pengadilan bila mana kes-kes penyelewengan yang nyata seperti ini tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa Malaysia,” katanya yang juga Setiausaha Agung KEADILAN.

Rafizi juga mendedahkan NOW akan bekerjasama dengan beberapa wartawan daripada Fairfax Media Australia sejak Februari untuk membongkar skandal itu.

NOW juga bakal mendedahkan individu-individu di belakang urusniaga ini dan bagaimana ia dilaksanakan di Australia pada Isnin depan.

Tiada ulasan: