Isnin, 13 Julai 2015

Mahathir bersajak sebelum 'mata terpejam'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Memasuki umur 90 tahun, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan hasratnya untuk melihat bangsa Melayu bersatu dan bebas daripada "dijajah" sebelum matanya terpejam.

Dalam sajak yang bertajuk “Malaysia Tanahair-ku” yang bertarikh 10 Julai dan diletakkan di blognya hari ini, Mahathir mempersoalkan sama ada bangsa Melayu akan kembali dijajah, dihina dan diperhambakan.

Dengan menulis bahawa beliau "akan pergi tidak lama lagi", bekas perdana menteri selama 22 tahun itu turut bertanya sama ada beliau akan "pejam mata" dalam keadaan negara ini bermaruah dan dipandang tinggi atau sebaliknya.

Malah, dalam sajaknya itu Mahathir turut berdoa supaya Allah melindungi bangsa Melayu.

"Ya Allah lindungilah bangsaku. Sedarkanlah mereka. Sedarkan mereka bahawa Engkau tidak akan mengubah nasib bangsa.

"Melainkan bangsa itu sendiri cuba mengubahnya. Mengubah sendiri, membendung nafsu. Kerana Allah, kerana agama, kerana bangsa, kerana negara. Biarlah aku pergi. Mata terpejam rapat. Nafas perlahan berhenti…," tulis bekas pemimpin itu.

Mahathir turut menulis bahawa politik yang ada di negara ini kini "hancur" apabila pemimpin kini semakin tamak untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta mempergunakan nama tuhan.

"Bangsa yang merdeka. Bangsa yang mulia. Sekarang sanggup menjual hak yang sedikit. Hak memilih, hak mengundi. Untuk mendapat kesenangan tanpa usaha, kesenangan yang sedikit.

"Maruah dijual. bangsa dijual. Tanah air dijual. Segalanya dijual. Untuk nikmat yang tidak kekal, nikmat yang sementara yang sedikit sahaja.

"Politik yang menyelamat menjadi politik yang menghancur. Pemimpin semakin tamak. Untuk tempat dan kedudukan tinggi. Perbuatan yang haram dihalalkan. Nama Allah diperalatkan, dijual untuk nikmat yang sementara di dunia," tulisnya.

Mahathir genap 90 tahun pada Jumaat lalu. Di usia emas itu beliau terus terlibat aktif dalam politik negara dengan kritikan berterusannya kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Berikut merupakan sebahagian petikan sajak tersebut:

Apa makna senang jika untuk mendapat sesuatu begitu susah
Dan nafsu dan perasaan tamak pun di peralat dan disogok oleh orang-orang politik dan orang kaya

Bangsa yang merdeka
Bangsa yang mulia
Sekarang sanggup menjual hak yang sedikit
Hak memilih, hak mengundi
Untuk mendapat kesenangan tanpa usaha, kesenangan yang sedikit

Maruah dijual
Bangsa dijual
Tanahair dijual
Segalanya dijual
Untuk nikmat yang tidak kekal, nikmat yang sementara yang sedikit sahaja

Politik yang menyelamat
Menjadi politik yang menghancur
Pemimpin semakin tamak
Untuk tempat dan kedudukan tinggi
Perbuatan yang haram dihalalkan
Nama Allah diperalatkan, dijual untuk nikmat yang sementara di dunia

Akan kembalikah bangsaku
Menjadi bangsa yang dijajah, dihina dan diperhambakan
Wahai bangsaku
Begitu mudahkah kamu lupa
Aku akan pergi tidak lama lagi
Dapatkah aku pejam mata dan hembus nafas terakhir
Kerana bangsaku
Negaraku
Masih mulia
Masih bermaruah
Masih dipandang tinggi
Atau mataku terbeliak
Nafasku tersesak, terhenti, kerana segala yang diperjuangkan luput ditelan nafsu

Ya Allah lindungilah bangsaku
Sedarkanlah mereka
Sedarkan mereka bahawa Engkau tidak akan mengubah nasib bangsa

Melainkan bangsa itu sendiri cuba mengubahnya
Mengubah sendiri, membendung nafsu
Kerana Allah
Kerana agama
Kerana bangsa
Kerana negara
Biarlah aku pergi
Mata terpejam rapat
Nafas perlahan berhenti… 
 
 
 

Tiada ulasan: