Isnin, 6 Julai 2015

Keyakinan terhadap Ringgit dan PM



Oleh Syahir Sulaiman 


“Yakin ertinya nyata dan terang, iatu lawan dari syak dan ragu. Tidaklah akan hilang ragu-ragu itu kalau tidak ada dalil atau balasan yang cukup. Datangnya yakin itu setelah memperoleh bukti-bukti yang terang” – Pak Hamka.

Ringgit di paras 1998 

Kejatuhan nilai Ringgit ke paras "psikologi" RM3.80 pada bulan Jun yang lepas, rekod terendah dalam tempoh 9 tahun, mengingatkan kembali keadaan ketika krisis kewangan 1997/98, sehingga memaksa Ringgit ditambat pada kadar RM3.80/USD selama 7 tahun sebelum diapung-semula untuk ditentukan pasaran.

Situasi kejatuhan Ringgit ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan ekonomi negara, malah turut menjejaskan kuasa beli pengguna, kesan daripada inflasi yang disebabkan kenaikan kos bahan yang diimport dari luar negara, di samping turut membebankan ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang belajar di luar negara.

Walaupun penarafan terbaru agensi Fitch Ratings yang menyemak naik unjuran ekonomi Malaysia daripada "negatif" kepada "stabil" berjaya memulihkan keyakinan pelabur dan pengukuhan Ringgit, namun impaknya hanya sementara.

Ini kerana, kadar Ringgit bukan sahaja ditentukan "faktor ekonomi" dalam dan luar negara di tangan pelabur, pengeksport, dan pengimport, namun turut ditentukan "faktor bukan–ekonomi" seperti sentimen dan persepsi di kalangan spekulator dan arbitrator.
Mengurus keyakinan

Prestasi Ringgit yang lemah ini adalah disebabkan gabungan faktor kejatuhan harga minyak dan sawit yang menjejaskan eksport negara, serta faktor prospek pelaburan yang lebih baik di Amerika yang menyebabkan aliran keluar modal jangka-pendek (hot money), seterusnya meningkatkan penawaran Ringgit di pasaran matawang yang mengakibatkan kejatuhan nilai Ringgit sejak Januari tahun ini.

Keadaan ini diburukkan lagi apabila sebahagian pelabur mula mengambil langkah keluar daripada Malaysia atas risiko kebimbangan 1MDB gagal melunaskan hutang RM42 bilion, yang boleh memberi kesan kepada defisit kerajaan yang menjamin hutang tersebut, serta risiko kepada sistem perbankan negara yang memegang bon-bon yang diterbitkan 1MDB.

Kedudukan Ringgit yang kini diniagakan di paras RM3.70 dijangka akan terus terdedah kepada risiko kejatuhan, dengan mengambil kira aspek kestabilan politik dan ekonomi negara dalam masa terdekat, khususnya dalam usaha kerajaan mengurangkan defisit ke paras 3% dan menampung hutang kerajaan yang mencecah 53% kepada KDNK, di samping usaha yang diambil kerajaan dalam menangani isu urustadbir korporat yang membelenggu 1MDB, Mara, Tabung Haji dan Felda.

Terkini, dengan tekanan politik yang dikenakan kepada perdana menteri, penarafan Ritch yang diharapkan dapat memulihkan sentimen dan keyakinan pelabur ternyata hanya sementara. Ini membuktikan, kedudukan Ringgit dan kestabilan ekonomi negara bukan sahaja bergantung kepada angka rasmi KDNK, GST, subsidi dan defisit, tetapi sangat berkait rapat dengan tahap integriti, transparensi dan akauntabiliti di pihak kerajaan, syarikat berkaitan-kerajaan, dan regulator seperti Bank Negara, ketua Audit Negara dan peguam negara.

Situasi defisit-berkembar yang sedang melanda negara kini, iaitu defisit-fiskal (fiscal deficit) dan defisit-keyakinan (trust deficit) menuntut agar pihak kerajaan meningkatkan ketelusan untuk memperbaiki tahap keyakinan rakyat dan pelabur, di samping terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dengan penuh disiplin, selain mengawal kenaikan harga barang dan kos sara hidup dalam negara.

Melihat kepada situasi semasa, penulis berkeyakinan trend kedudukan Ringgit dan perdana menteri dijangka akan kekal bersama (coupling-trend) di paras terendah dalam tempoh terdekat ini, namun dalam jangka masa panjang, kedua-duanya akan mengambil haluan berbeza (decoupling-trend), di mana Ringgit akan kembali kukuh manakala kedudukan perdana menteri adalah sebaliknya.

Benar kata Pak Hamka, “Keyakinan datang setelah menyelidiki, kadang-kadang tidak diselidiki lagi kerana dalil itu cukup terbentang di hadapan mata”.

Tiada ulasan: