Ketua Umno bahagian Bagan, Pulau Pinang, Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin yang ditahan berikutan insiden pergaduhan dan rusuhan di Plaza Low Yat hujung minggu lepas, dibebaskan semalam dengan jaminan polis.
Seorang jurucakap polis berkata Shaikh Hussein dibebaskan dengan seorang penjamin pada pukul 4.30 petang selepas ditahan Rabu lepas bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan 1948.
Di Mahkamah Sesyen hari ini, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali 'Ali Tinju,' mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebut perkataan menghasut ketika insiden rusuhan di Plaza Low Yat.
Dia didakwa menyebut lima ayat berbentuk provokasi perkauman di hadapan bangunan plaza berkenaan, Jalan Bulan 1, Off Jalan Bukit Bintang, di sini pada jam 8.30 malam, Ahad lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama, membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, 24 individu lain yang ditahan sebelum ini, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Insiden pergaduhan disusuli rusuhan di luar plaza berkenaan tercetus Sabtu lepas, selepas seorang pemuda berusia 22 tahun ditangkap oleh pekerja sebuah kedai menjual alat komunikasi kerana didakwa mencuri sebuah telefon bimbit bernilai RM800. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan