Jumaat, 24 Julai 2015

KDN gantung permit dua penerbitan The Edge

KDN gantung permit dua penerbitan The Edgeartawan Sinar Harian
The Edge



SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menggantung permit The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily untuk tempoh tiga bulan berkuatkuasa 27 Julai ini.

The Edge dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima surat daripada KDN yang menyatakan laporan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh kedua-dua penerbitan tersebut ‘memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menimbulkan keresahan  umum atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara.’

Turut dinyatakan, surat tersebut juga mengandungi amaran yang berbunyi sekiranya pihak The Edge gagal untuk menghentikan penerbitan selama tiga bulan, ia akan menyebabkan permit untuk kedua-dua penerbitannya itu ditarik balik.

Melalui kenyataan yang sama, penerbit dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.

"Kami tidak melihat bagaimana mendedahkan kes penipuan untuk menipu rakyat Malaysia sebanyak berbilion ringgit boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang menjejaskan kepentingan awam dan negara.

“Ini adalah satu usaha untuk menutup operasi kami dengan menutup mulut kami," katanya sambil menambah The Edge akan membawa kes itu ke mahkamah untuk menarik balik penggantungan tersebut.

Tiada ulasan: