SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Pengurus Saluran Astro
Warna, Emarina Mohd. Kamal (berdiri, tengah) bersama AC Mizal (kanan)
dan Sherry Al Hadad (dua dari kanan) bersama sebahagian daripada calon
akhir 'Anugerah Lawak 2015' yang hadir pada sidang media yang diadakan
di ibu negara, baru-baru ini. - Foto Astro
KUALA LUMPUR -Memasuki usia ketiga penganjurannya, ternyata Anugerah Lawak Warna 2015 (ALW) terus komited dalam memartabatkan genre komedi dan para pemainnya bagi membuktikan bahawa komedi juga tidak seharusnya dipandang enteng.
Bagi memastikan penganjuran anugerah
berkenaan terus dipandang tinggi dan tidak diperlekehkan, Astro selaku
penyiar rasmi dan penganjur mahu telus dalam pemilihan calon yang
benar-benar layak ke peringkat akhir.
Namun, sesuatu yang menarik perhatian
pada sidang media pengumuman finalis ALW 2015 baru-baru ini apabila
hampir kesemua program televisyen, drama serta telefilem yang tercalon
adalah karya yang pernah ditayangkan di Astro.
Justeru, persoalan yang timbul apakah
Astro lebih mementingkan produk yang ditayangkan di stesen mereka
berbanding stesen televisyen lain walaupun mereka membuka penyertaan itu
kepada semua pihak tanpa prejudis?
Ketika diajukan pertanyaan tersebut kepada Pengurus Saluran Astro Warna, Emarina Mohd. Kamal dalam sidang media itu, beliau menafikan perkara itu kerana pihaknya tidak meletakkan sebarang syarat untuk menyertai ALW 2015.
Akan tetapi, kata Emarina, setiap produk
yang dihantar untuk pencalonan perlu menepati kriteria yang telah
ditetapkan dari awal penganjuran ALW iaitu kandungan komedi dalam setiap
karya perlulah melebihi 65 peratus.
“Kami tidak menafikan tahun ini pihak
kami menerima banyak pencalonan daripada semua stesen televisyen dan
kami akui kualiti penerbitan mereka juga berada pada tahap membanggakan.
“Tetapi, selepas pihak juri membuat
penilaian, sebahagian besarnya tidak menepati kriteria seperti mana yang
telah kami tetapkan lalu membuatkan kami harus benar-benar telus dan
memilih karya yang benar-benar layak sahaja,” ujarnya lagi.
Tambah Emarina, tempoh kelayakan bagi
memilih karya yang layak untuk dipertandingkan dalam ALW 2015 adalah
dari 1 April 2014 hingga 31 Mac 2015.
Dalam sidang media itu juga, Astro turut
mengumumkan pemilihan Datuk AC Mizal yang masih kekal sebagai pengacara
ALW untuk tahun ketiga.
Selepas bergandingan dengan Neelofa pada
tahun 2013 dan tahun lepas pula bersama aktres sensasi, Nabila Huda,
kali ini, AC Mizal mendapat pasangan baru apabila akan digandingkan
dengan dua pengacara yang semakin meningkat naik iaitu Sherry Al Hadad
dan Zulin Aziz.
Menjawab persoalan pihak media berhubung
pemilihan tiga selebriti itu sebagai pengacara ALW tahun ini, Emarina
menjelaskan mereka mempunyai alasan tersendiri.
“Kami melihat prestasi AC Mizal sangat
membanggakan dan beliau telah melunaskan tanggungjawabnya dengan baik
pada ALW sebelum ini. Malah, kami berpuas hati dengan apa yang dia telah
lakukan bagi melancarkan perjalanan ALW.
“Bagi Sherry dan Zulin pula, kami melihat
mereka mempunyai potensi besar sebagai pengacara pelapis yang
seharusnya terus diberi peluang sementelah mereka juga kini antara yang
mendapat perhatian ramai.
“Justeru, kami yakin gandingan mereka
bertiga akan menggegarkan ALW tahun ini dengan gelagat dan keletah
mereka yang bersahaja dan mampu menggeletek penonton,” jelas Emarina
penuh optimis.
Bertemakan Celebration, ALW 2015
yang bakal bersiaran secara langsung dari Taman Ekspo Pertanian
Malaysia Serdang (MAEPS) pada 21 Ogos ini turut menampilkan Syuk dan
Jihan Muse sebagai pengacara karpet merah.
ALW 2015 mempertaruhkan 13 kategori
terbaik yang merangkumi filem, drama, penerbitan program dan telefilem
selain empat kategori popular dan satu anugerah khas juri.
Bagi mereka yang mahu mengundi calon akhir yang tersenarai dalam kategori popular, bolehlah berbuat demikian di laman web www.anugerahlawakwarna.com.my bermula 13 Julai ini sehingga 21 Ogos 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan