Selasa, 21 Julai 2015

Juruaudit maut dibelasah suami akibat cemburu‎


SINAR HARIAN


Kemalangan maut
Gambar hiasan
 
 
KUALA LUMPUR - Seorang wanita ditemui maut di rumahnya‎ selepas dipercayai dipukul oleh suaminya yang mengalami masalah mental di Taman Tun Dr Ismail di sini, malam ini.
 
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, mangsa‎ Suraiza Hamzah, 46, dijumpai terbaring di ruang tamu rumah oleh anak lelakinya berusia 17 tahun pada jam 7.30 malam.
 
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati sebelum itu, pasangan suami‎ isteri itu telah bergaduh akibat cemburu apabila suami mangsa berusia 47 tahun itu mengesyaki isterinya menjalin hubungan dengan lelaki lain.
 
Suspek yang tidak bekerja dan dipercayai mempunyai masalah mental telah dilaporkan menghentak kepala isterinya dengan sebuah objek tumpul dalam kejadian  itu, katanya dalam kenyataan di sini.
 
Beliau berkata, mangsa bekerja sebagai seorang juruaudit di salah sebuah syarikat penerbangan tambang murah.
 
Menurutnya suspek ditahan oleh anggota ronda balai polis Taman Tun Dr Ismail setengah jam kemudian selepas menerima maklumat daripada ibu saudara anak mangsa.
 
Shahrul Othman berkata, anak pasangan itu sebaik menemui ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri telah memaklumkan kepada ibu saudaranya untuk menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.
 
"Mayat mangsa telah di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat," katanya.
 
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan‎ atas kesalahan membunuh. - Bernama
 
 

Tiada ulasan: