KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk
Seri Rohani Abdul Karim berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah
bersiap sedia untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa sekiranya berlaku
kebakaran berikutan musim kemarau di Sarawak ketika ini, lapor Bernama.
"Sekiranya ada bencana berlaku seperti kebakaran pada musim kemarau
ini, kami (JKM) akan dipanggil untuk membantu sekurang-kurangnya untuk
membekalkan makanan dan keperluan asas sementara menunggu
bantuan-bantuan lain.
"Ini antara tugas yang sering dilaksanakan JKM selain akan bekerjasama
dengan bomba dan polis bagi membuat penilaian bantuan yang perlu
diberikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka di kediamannya, di sini hari ini.
Cuaca panas dan kering di Sarawak terutama di bahagian barat dan utara negeri ini dijangka berterusan sehingga September.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Sarawak dijangka menerima
taburan hujan sedikit di bawah normal dengan jumlah hujan bulanan di
dalam julat 150mm hingga 300mm.
Mengulas lanjut, Rohani turut menasihatkan orang ramai untuk menjaga kesihatan masing-masing pada musim kemarau ini.
"Minum air lebih banyak khususnya air putih dan pada masa yang sama
kalau dapat elakkan dari berada di tempat-tempat yang terdedah secara
langsung dengan cuaca panas.
Bagi menghadapi musim kemarau ini, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan
Bencana Negeri Sarawak mengarahkan agensi dan jabatan kerajaan mengambil
tindakan proaktif bagi menghadapi kemarau dan jerebu di negeri ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri
Alfred Jabu Numpang, turut meminta penyedia bekalan air seperti Lembaga
Air Kuching (LAK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) merangka persiapan pelan
luar jangka jika berlaku kekurangan bekalan air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan