KUALA LUMPUR- Polis meminta orang ramai tidak mengaitkan insiden pergaduhan di Plaza Lowyat, semalam dengan isu perkauman dan menegaskan tindakan boleh diambil terhadap penyebaran berita palsu sehingga mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, berkata demikian berhubung perkembangan siasatan pergaduhan di Plaza Lowyat yang menjadi viral di laman media sosial hari ini.

“Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam mengikut undang-undang yang ada,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian pada jam 7.38 malam itu, Zainuddin berkata, polis sudah menahan remaja lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai terbabit, selain mengesan rakan suspek yang lain .

“Kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek yang ditahan pegawai keselamatan Plaza Lowyat kerana dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.

“Pengawal keselamatan bertindak menyerahkan remaja itu kepada pihak polis, lanjutan daripada itu, remaja terbabit menghubungi rakan-rakannya lalu bertindak memukul pekerja di situ dan memecah barang-barang di dalam kedai terbabit yang menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM70,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muez Abd Aziz, berkata pihaknya turut menjalankan siasatan mengenai dakwaan terdapat penjualan barang tiruan di Plaza Lowyat.

“Kami menghantar petugas untuk membuat risikan sama ada wujud penipuan oleh penjual atau sebaliknya, sekiranya ada penipuan, maka KPDNKK akan mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Muez berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada pengguna berhubung penjualan barang-barang tiruan di plaza itu, namun pemantauan sentiasa dijalankan bagi menjaga hak pengguna agar tidak ditipu.

Sementara itu, tinjauan di Plaza Lowyat hari ini mendapati kedai menjual telefon bimbit tersebut ditutup buat sementara waktu dan suasana persekitaran kembali seperti biasa.

Seorang penjual telefon bimbit di kedai berhampiran dengan lokasi kejadian, Ivan Lau, 20, menolak dakwaan di laman sosial bahawa peniaga di Plaza Lowyat menjual barang tiruan atau ‘klon’ kerana ia dibeli terus daripada pembekal yang sah.

“Kalau saya menipu, sudah pasti tiada pembeli datang ke sini…lagipun pengurusan Plaza Lowyat akan ambil tindakan mengenakan denda atau menutup serta-merta kedai yang didapati menjual barang ‘klon’ di sini,” katanya.