KUALA LUMPUR- Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyambut baik pengumuman awal Pasukan Petugas Khas yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Peguam Negara Malaysia berhubung dakwaan dana yang disalurkan ke akaun Perdana Menteri hari ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata makluman awal mengenai siasatan yang dibuat telah membantu meredakan kegelisahan orang ramai berkaitan isu itu.

“Penjelasan mengenai tindakan hasil Siasatan Pasukan Petugas Khas berkenaan dakwaan dana yang disalurkan ke akaun Perdana Menteri melegakan orang ramai yang pasti membantu meredakan kegelisahan orang ramai yang semakin memuncak”, katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Ibrahim berkata pihaknya percaya rakyat tidak akan membuat apa jua spekulasi sehingga siasatan pasukan petugas khas selesai.

Jelasnya, Perkasa yakin bahawa siasatan yang akan dibuat adalah tulus dan hasil siasatan akan diumumkan secara terperinci mengikut format Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI).

Ini juga katanya, akan membantu pelbagai persepsi yang timbul mengenai hasil siasatan berkenaan.

“Pembangkang yang ghairah terutama DAP dan PKR yang berharap dapat meraih ‘political mileage’ juga wajar dan bersabar menunggu laporan siasatan.

“Tak ke mana gunung di kejar. Perkasa tetap dengan pendirian yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah, tidak kira siapa.

“Semoga pasukan siasatan diberi kekuatan dan hidayah oleh Allah SWT mencari kebenaran demi rakyat dan negara Malaysia kita yang tercinta,” katanya.