Jumaat, 3 Julai 2015

Hubungan PKR, Pas di Perak masih utuh

Muhammad Nur Manuty
Muhammad Nur Manuty



IPOH - PKR Perak menegaskan hubungan parti itu dengan Pas Negeri masih utuh walaupun berlaku konflik membabitkan Pas dan DAP di peringkat pusat.

Pengerusinya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, perkara itu jelas menunjukkan tiada sebarang masalah ditimbulkan di antara kedua-dua pihak.

“Persoalan mengenai hubungan PKR dan Pas Perak tidak timbul dalam konflik ini.

“Kita masih kekal menjalinkan hubungan dengan Pas Perak sepertimana sebelum ini sama ada di peringkat negeri mahupun pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian, di Wisma PKR Negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, PKR pada ketika ini berusaha mencari jalan penyelesaian bagi menjernihkan kembali hubungan antara Pas dan DAP.

“Peranan itu sedang kita jalan sekarang malah telah ada perjumpaan di peringkat pusat antara PKR serta DAP baru-baru ini, membincangkan status dan pengukuhan PR,” katanya.

Beliau berkata, di peringkat negeri juga PKR Perak berharap perbincangan antara ketiga-tiga parti dapat berlangsung dalam kadar segera.

“Kita belum bersua muka lagi namun saya optimis PR Perak dapat menangani isu keretakan hubungan ini dengan baik dan penuh semangat setia kawan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa supaya kerajaan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kesihatannya pada ketika berada di tahap membimbangkan.

“Seharusnya perkara ini diutamakan oleh pucuk pimpinan ketiga-tiga parti bukan terperangkap dengan permainan BN yang dilihat cuba memecahkan blok PR selepas pemenjaraan Anwar,” katanya.


Tiada ulasan: