shahbudindotcom
Untuk
mereka yang mungkin sudah terlupa, sengaja lupa atau buat-buat lupa,
isu pokok yang sedang dihadapi negara ketika ini ialah berkenaan
pengaliran wang sejumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana
Menteri, Najib Razak.
Isu
ini yang didedahkan oleh The Wall Street Journal (WSJ) sangat
memerlukan penyelesaian segera ia kerana ia menjejaskan nama Perdana
Menteri dan juga imej negara di mata dunia.
Rakyat
juga ingin benar mengetahui kebenarannya supaya boleh menentukan sama
ada mahu mengekalkan Perdana Menteri yang sama atau menukarnya dengan
pemimpin lain.
Oleh
kerana jawapan Najib masih kabur mengenai wang tersebut, orang kampung
dan makcik-makcik Felda mula menyoal, "apa nak dibuat dengan duit
sebanyak itu?"
Sementara
Najib tidak menafikan secara jelas berkenaan kemasukan wang tersebut,
sebaliknya hanya berkata, "saya tidak ambil wang 1MDB untuk kegunaan
peribadi", tetapi pasukan petugas khas yang diketuai oleh Peguam Negara
mengesahkan akaun bank yang didedahkan itu adalah miliknya dan sudah
ditutup.
Bagaimanapun
bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam tulisan di blognya
seolah-olah mendapat maklumat yang sah bahawa wang RM2.6 bilion itu
memang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib dan sebahagiannya telah
digunakan untuk keperluan pilihanraya 2013 lalu.
Terdapat
juga cakap-cakap dalam UMNO yang mengatakan bahawa Najib ada mengakui
mengenai wang tersebut, namun menjelaskan ianya digunakan untuk mengurus
parti dan perbelanjaan dalam pilihanraya.
Tetapi
jika semua 222 kawasan Parlimen dalam pilihanraya lalu diberikan RM2
juta misalnya, bermakna tidak sampai RM500 juta pun wang itu
dibelanjakan?
Di manakah lebihannya yang lain?
Kiranya
Najib mengatakan beliau tidak pernah menggunakannya untuk kegunaan
peribadi, siapakah yang dapat mengesahkannya atau adakah sesiapa
mengaudit akaun peribadinya?
Dengan
ini, rentetan daripada pelbagai pendedahan mengenai 1MDB, isu wang
RM2.6 bilion yang didakwa berada dalam akaun peribadi Najib adalah suatu
perkara besar yang menjadi perhatian rakyat dan dunia sekarang ini.
Ia
bukan sekadar boleh menjejaskan nama negara dan keyakinan rakyat, malah
mencemarkan nama Tun Razak yang dikenali cukup sederhana dan
berintergriti tinggi dalam memelihara amanah sebagai pemimpin.
Isu
betul atau tidak berkenaan wang RM2.6 bilion ini sebenarnya cukup mudah
jika Najib berani berterus terang. Kalau benar, mengakulah dan jika
tidak benar, nafikannya berserta bukti-buktinya sekali.
Mengungkapkan
kata-kata, "saya tidak pernah guna wang 1MDB untuk kepentingan
peribadi" dan "saya tidak akan khianati amanah rakyat" bukan saja jauh
daripada jawapan yang tepat, tetapi iuga boleh menimbulkan pelbagai
tafsiran yang lain.
Oleh
kerana pasukan petugas khas sudah ditubuhkan untuk menyiasatnya, kini
rakyat negara ini dan dunia ternanti-nanti apakah hasil penyiasatannya
nanti.
Akhbar
perniagaan WSJ yang mendedahkan perkara itu juga tetap berpegang teguh
dengan pendirian mereka, meskipun setelah menerima surat daripada peguam
Najib. Ini bermakna WSJ sedia berhujah di mahkamah untuk membuktikan
wang RM2.6 bilion itu pernah mengalir masuk ke dalam akaun peribadi
Perdana Menteri.
Jika
pada awalnya ramai yang agak skeptikal terhadap pasukan petugas in
kerana mereka perlu melaporkan hasil siasatan kepada Perdana Menteri
yang dalam masa sama merupakan suspek, perkembangan selepas Hari Raya
ini lebih caca-marba jadinya.
Serangan
dan kritikan terhadap Najib nampaknya mulai dikalihkan dengan dakwaan
mahu menjatuhkan Najib dan menggulingkan kerajaan yang dianggap suatu
kesalahan. Selain Sarawak Report sudah disekat oleh SKMM, beberapa
individu daripada pembangkang dan media juga mulai diancam untuk
disiasat, terutama yang pernah bertemu dengan bekas Pengarah PetroSaudi
International, Xavier Justo yang kini ditahan di Thailand.
Pemimpin
politik kerajaan, pihak polis, malah Ketua Setiausaha Negara turut
tampil bercakap mengenainya seolah-olah apa yang sedang berlaku ialah
usaha menggulingkan kerajaan secara kekerasan. Hakikat bahawa hanya
Najib yang terpalit dengan pelbagai keburukan yang mahu disingkirkan dan
untuk menyelamatkan negara seboleh-bolehkan cuba disembunyikan.
Jika
Tun Abdullah boleh diturunkan, apakah Najib terlalu suci untuk
dihadapkan nasib yang sama? Bukankah menjatuhkan pemimpin merupakan
permainan dan asam garam dalam politik demokrasi?
Tidakkah
sejarah politik kita sendiri menyaksikan pemimpin bukan saja dijatuhkan
ketika pilihanraya, bahkan juga di pertengahan penggal kerana kesalahan
jenayah dan moral yang mereka lakukan?
Apakah
Tun Abdullah yang cuma membenarkan "geng tingkat 4" menguasainya
sehingga keputusan pilihanraya 2008 begitu merosot dan kemudian
diturunkan dianggap telah melakukan dosa lebih besar daripada pelbagai
skandal berkaitan 1MDB dan dakwaan berkaitan RM2.6 bilion melibatkan
Najib sekarang ini?
Selain
daripada isu menggulingkan kerajaan, pasukan petugas juga mula menahan
beberapa individu yang ada kaitan dengan 1MDB. Sehingga ini dua orang
sudah ditahan iaitu Jerome Lee Tak Loong dan Dr Shamsul Anwar Sulaiman
untuk membantu penyiasatan.
Sebagaimana
yang dipersoalkan oleh Rafizi Ramli, rakyat juga secara umumnya mulai
tertanya-tanya, sudahkah Najib sendiri disiasat oleh pasukan petugas
khas itu?
Menambahkan
lagi caca-marba ialah berikutan wujudnya sekatan ke luar negara keatas
beberapa pemimpin pembangkang seperti Rafizi Ramli dan Tony Pua serta
tauke media, Tong Koi Ong yang menerbitkan The Edge yang diketahui
banyak menyiarkan mengenai 1MDB.
Menyusul
lagi hari ini, Tian Chua, Maria Chin Abdullah, Hishammudin Rais dan
Adam Adli juga menerima nasib yang sama. Ambiga Sreenavasam pula
dilaporkan hanya dilarang ke Sabah dan Sarawak saja.
Apakah
sekatan ke luar negara ini berkaitan dengan 1MDB atau dakwaan
menggulingkan kerajaan? Jika kerana 1MDB, apa perlunya sekatan itu
dikenakan kerana mereka bukannya suspek, sebaliknya cuma lantang
mendedahkan pelbagai isu mengenai syarikat pelaburan itu saja?
Sementara
suspek sebenar bebas ke mana saja, sekatan perjalanan ini juga
seolah-olah ingin memberi gambaran mereka ini benar-benar merbahaya dan
merupakan ancaman kepada negara sedangkan pendedahan yang mereka lakukan
lebih membawa kebaikan untuk kita semua.
Dalam
kita menanti penuh sabar dan debar hasil siasatan pasukan petugas khas
itu, isu pokok yang perlu diberi perhatian dan dicari kebenaran yang
sebenar ialah berkaitan wang RM2.6 bilion itu. Tidak harus sesiapa lari
daripadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan