Khamis, 23 Julai 2015

Gesa wujudkan hub IT elak monopoli

SINAR HARIAN


Jamawi Jaafar
Jamawi Jaafar
 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mewujudkan hub untuk industri teknologi maklumat (IT) dan digital Bumiputera bagi mengurangkan kebergantungan dan monopoli pihak tertentu dalam perniagaan jualan barangan telekomunikasi.
 
Ketua Penerangan Pemuda Umno Jamawi Jaafar berkata sudah tiba masanya kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan usahawan IT dan telekomunikasi secara lebih bersungguh-sungguh dalam usaha Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.
 
Beliau berkata Bumiputera seharusnya sudah mampu menempatkan diri sebaris dengan bangsa lain dalam perniagaan berkenaan namun malangnya Bumiputera masih lagi ditakuk lama yang hanya menjadi pembeli dan bukannya peniaga.  
 
"Sejujurnya, dengan adanya pelbagai agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga kepentingan Bumiputera seperti Mara (Majlis Amanah Rakyat) dan Uda (Lembaga Kemajuan Bandar), sepatutnya ramai usahawan Bumiputera dalam bidang ini telah kita lahirkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Katanya publisiti besar-besaran perlu diberikan secara berterusan terhadap hab itu sekiranya diwujudkan bagi memastikan ia tidak 'mati' dan tidak hanya 'hangat-hangat tahi ayam'.
 
Dalam pada itu, Jamawi berkata cadangan penubuhan hab itu akan diangkat kepada pihak Mara untuk dipertimbangkan supaya beberapa premis bersesuaian milik agensi ini turut dapat diguna pakai bagi tujuan berkenaan.
 
"Pemuda Umno juga bercadang untuk mengadakan satu sesi perjumpaan dengan semua pengusaha Bumiputera dalam industri tersebut bagi mendapatkan input yang berguna serta bertukar-tukar pandangan serta berkongsi permasalahan bagi memastikan cadangan mewujudkan hub IT dan digital milik bumiputera dapat direalisasikan dan seterusnya memecahkan monopoli perniagaan ini," katanya. - Bernama
 
 

Tiada ulasan: