PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua
mempertimbangkan untuk memfailkan saman terhadap kerajaan selepas beliau
dilarang meninggalkan negara ini pada Rabu.
Ketua Publisiti DAP itu berkata, beliau tidak dimaklumkan terlebih
dahulu bahawa beliau dalam senarai 'tidak boleh terbang' atau dipanggil
untuk disoal siasat bagi sebarang penyiasatan.
Beliau berkata, tiada sebab untuk menghalangnya daripada meninggalkan
negara ini, dan hanya boleh membuat spekulasi bahawa sekatan itu
mempunyai kaitan dengan kritikannya terhadap 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) dan dakwaan konspirasi pihak pembangkang untuk
menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Pegawai Imigresen berkata mereka tidak tahu kenapa saya dilarang
keluar, kecuali mengatakan ia adalah arahan 'pegawai peringkat
tertinggi'.
"Setahu saya, saya tidak melakukan jenayah dan tidak terlibat mana-mana
aktiviti haram dalam sebarang isu berkaitan dengan 1MDB.
"Saya akan berbincang dengan peguam saya untuk membincangkan mengenai
tindakan memfailkan saman terhadap kerajaan kerana menghalang saya
daripada meninggalkan negara ini tanpa proses yang sewajarnya," katanya
pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, Rabu.
Pada Rabu, menurut lidah rasmi DAP, Roketkini, Pua dilarang
meninggalkan negara ini semasa mahu berkunjung ke Yogyakarta, Indonesia
melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada tengah
hari Rabu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan