Isnin, 20 Julai 2015

Cubaan tutup isu 1MDB, rugikan Umno

rafizi ramli
Rafizi Ramli
 
 
SHAH ALAM - PKR hari ini mendakwa cubaan Umno menutup skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya akan membenam parti itu dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Naib Presaidennya, Rafizi Ramli berkata, taktik-taktik yang dimainkan di media utama itu seolah-olah cuba meyakinkan ahli Umno bahawa skandal 1MDB itu tidak wujud.

“Kebelakangan ini ada satu rancangan tersusun Umno untuk cuba menutup skandal 1MDB dengan taktik mengalih perhatian rakyat kepada kononnya bukti-bukti yang ditunjukkan terutamanya melalui media seperti Sarawak Report dan The Edge mengenai skandal 1MDB setakat ini adalah palsu dengan menyabitkannya dengan bekas eksekutif 1MDB, Xavier Justo.

“Serta Memfitnah pimpinan pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tony Pua dan saya kononnya kami menjadi dalang yang mereka-reka skandal ini untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri). Kedua-dua taktik ini dimainkan saban hari di media utama untuk meyakinkan anggota Umno sebenarnya skandal 1MDB ini tidak wujud dan hanya rekaan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Namun beliau menegaskan tidak merasa tergugat sedikit pun dengan tekanan itu malah beliau mengingatkan bahawa Najib masih belum dapat menjelaskan pelbagai isu besar melibatkan 1MDB sehingga hari ini.
 
“Soalan-soalan mudah sebegini jika tidak dijawab akan menguatkan kepercayaan rakyat bahawa ada tangan yang menggunakan 1MDB untuk kesenangan peribadi.
 
 “Sebab itu taktik-taktik menghalang capaian ke laman web Sarawak Report, mengkambing hitamkan saya dan Tony Pua serta taktik-taktik lapuk sebenarnya akan membantu membenamkan Umno/BN dalam PRU14,” katanya.
 
Malah beliau sempat menyindir Najib agar terus menggunakan taktik menutup skandal 1MDB dan memfitnah pemimpin pembangkang serta dua portal berita itu bagi memberi laluan kepada pembangkang menang dalam PRU14. 
 
“Saya sebenarnya berasa gembira dengan reaksi dan tingkah laku pimpinan Umno/BN yang masih cuba menutup skandal 1MDB dengan memfitnah saya, Anwar Ibrahim, Tony Pua, Sarawak Report, The Edge dan lain-lain. Reaksi sebeginilah yang menimbulkan kebencian rakyat terhadap Umno/BN yang akan membolehkan pembangkang menang dalam PRU14 kelak.
 
 “Jadi saya galakkan Datuk Seri Najib untuk terus menggunakan taktik ini kerana saban hari ia melunturkan keyakinan rakyat terhadap Umno/BN,” katanya.‎
 
 

Tiada ulasan: