Khamis, 23 Julai 2015

'Buli pembangkang, semarak ingin tahu isu 1MDB'

MALAUSIAKINI


 


Tindakan kerajaan "membuli" dengan menyekat ahli politiknya pembangkang ke luar negara dilihat bermotifkan politik dan memberi persepsi buruk kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata PAS.

Timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan "terdesak" melarang Tony Pua dan Rafizi Ramli ke luar negara akan menyemarak keinginan rakyat untuk mengetahui kebenaran di sebalik semua dakwaan berkaitan 1MDB dan Najib.

"Taktik membuli pembangkang dengan cara ini hanya akan menyemarakkan lagi desakan dan keinginan rakyat untuk mengetahui kebenaran di sebalik semua dakwaan terhadap 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Rakyat akan melihat tindakan sebegini sebagai terdesak dan bermotifkan politik apabila tiada sekatan dilakukan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad - pengkritik terhebat 1MDB yang secara jelasnya berniat untuk meminta Najib turun sebagai perdana menteri," kata Tuan Ibrahim.

Semalam, Tony Pua dan Rafizi Ramli - yang sering membuat kenyataan mengenai 1MDB -  dihalang oleh pihak berkuasa untuk ke luar negara. Larangan sama juga dikenakan pada pemilik The Edge Media Group Tong Kooi Ong.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim turut membidas Jabatan Imigresen yang didakwanya mempamerkan "kecekapan" melaksanakan arahan pihak atasan dengan menyenaraikan hitam Tony dan Rafizi walaupun mereka belum dituduh di mahkamah. .

"Ini menimbulkan persoalan bagaimana seorang yang telah disabit kesalahan membunuh boleh pula terlepas ke Australia memandangkan Imigresen negara boleh bertindak secekap ini?" soal bekas pensyarah itu

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata tindakan itu menambahkan persepsi buruk pada kerajaan kerana rakyat melihat pengerusi, ketua pegawai ekseskutif dan penasihat 1MDB masih bebas bergerak ke seluruh dunia sedangkan pihak yang membongkarkan isu itu dikenakan tindakan.

"Adalah lebih berfaedah dan menguntungkan kerajaan jika fokus dan bantuan dapat diberikan kepada pasukan siasatan khas untuk menyelesaikan misteri aliran tunai di sebalik 1MDB dengan kadar segera daripada terus melakukan tindakan yang menampar diri sendiri," katanya lagi. 


Tiada ulasan: